KUCHING: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan memberi keutamaan kepada kerja menaik taraf infrastruktur rosak di kawasan pedalaman.
Timbalan Premier yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kementeriannya mengenal pasti kerosakan itu selepas beliau sendiri mengetuai tiga Ekspedisi Infrastruktur (XPDC 1.0, 2.0 dan 3.0) antara Julai 2025 dan Ogos 2026 untuk lebih memahami cabaran infrastruktur yang dihadapi komuniti luar bandar dan pedalaman.
Katanya, ekspedisi itu merangkumi kawasan Baram, Bario, Kakus, Belaga, Murum, Ulu Skrang, Ulu Kota, Ulu Entabai dan Ulu Kanowit.
“Semasa ekspedisi ini, kami menyaksikan sendiri keadaan jalan bekas pembalakan yang semakin rosak, cerun dan benteng yang rosak, jambatan usang serta laluan menyeberangi sungai yang tidak selamat.
“Keadaan-keadaan ini terus menghalang ketersampaian dan menimbulkan risiko keselamatan kepada komuniti luar bandar dan pedalaman yang bergantung kepada laluan ini untuk aktiviti harian mereka,” katanya ketika penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini hari ini.
Berikutan pemeriksaan ini, Uggah berkata, pihaknya mengambil langkah untuk menilai infrastruktur yang terjejas, mengenal pasti langkah pembaikan yang bersesuaian serta memberi keutamaan kepada kerja menaik taraf dan penyelenggaraan yang diperlukan.
Beliau berkata, ekspedisi itu mengukuhkan kepentingan intervensi yang praktikal dan tersasar bagi menangani keadaan sebenar di lapangan, terutamanya dalam meningkatkan keselamatan dan ketersampaian bagi komuniti luar bandar dan pedalaman.
Dalam pada itu, Uggah berkata, kementeriannya juga memperkenalkan langkah untuk memperkasakan pelaksanaan projek dan mengatasi cabaran yang timbul berikutan pandemik COVID-19.
Katanya, tiga Pejabat Wilayah Jabatan Kerja Raya (JKR) dibubarkan sebagai sebahagian latihan penstrukturan semula.
Jelasnya, langkah itu dilaksanakan bagi menghapuskan pertindihan fungsi dalam pengurusan projek serta memantapkan susunan pentadbiran dan pelaporan.
“Tanggungjawab pejabat itu digabungkan di bawah Pejabat JKR Bahagian masing-masing, yang diperkukuh dengan tambahan kakitangan dan sumber.
“Penstrukturan semula ini meningkatkan kebertanggungjawaban, pemantauan projek, pembuatan keputusan dan penyelarasan, di samping menyediakan satu titik rujukan tunggal bagi orang awam dan wakil rakyat untuk mendapatkan maklumat terkini projek serta bantuan,” katanya.
Katanya, kementeriannya juga menangani tekanan kos pembinaan, termasuk perkara berkaitan Pelarasan Harga, di samping memperkukuh pemantauan projek dan kebertanggungjawaban kontraktor.
Di samping itu, menerusi Ikrar Satu Bulan JKR Sarawak, Uggah berkata penekanan lebih besar diberikan kepada penilaian kesediaan dan kemajuan kontraktor di peringkat awal pelaksanaan, membolehkan intervensi tepat pada masanya bagi mengelakkan kelewatan berterusan.
“Langkah ini menyumbang kepada penambahbaikan penyampaian projek, dengan projek terlewat kritikal berkurangan daripada 98 projek pada Jun 2022 kepada tujuh projek pada September 2026, iaitu pengurangan kira-kira 93 peratus.
“Walaupun cabaran masih ada, kemajuan ini mencerminkan kepentingan intervensi awal, penyeliaan yang lebih rapi dan penyelarasan yang berkesan dalam kalangan agensi pelaksana,” katanya.



