ARTIKEL

Uggah ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu II pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, hari ini.

Sarawak kekal penarafan kredit AAA RAM, audit bersih 24 tahun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak mengekalkan penarafan kredit tertinggi AAA dengan prospek stabil daripada Agensi Penarafan Malaysia (RAM) pada Jun lalu, sekali gus mencerminkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh serta pengurusan fiskal yang berhemat.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kedudukan itu turut diperkukuh dengan pencapaian Sijil Audit Bersih bagi Akaun Awam Negeri tahun kewangan 2025, menjadikan rekod berkenaan kekal selama 24 tahun berturut-turut.

Menurutnya, agensi penarafan antarabangsa Moody’s Ratings dan S&P Global Ratings turut mengekalkan penarafan kredit Sarawak masing-masing pada A3 dan A-, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap pengurusan kewangan negeri.

“Penarafan kredit yang baik ini membuktikan kedudukan kewangan Sarawak yang kukuh, hasil pengurusan fiskal berhemat, perbelanjaan berdisiplin, rizab yang kukuh, pinjaman bertanggungjawab serta tadbir urus yang baik.

“Bagaimanapun, penarafan kredit bukan matlamat akhir, sebaliknya mencerminkan prinsip pengurusan kewangan yang sentiasa kita pegang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu II pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan mengekalkan Sijil Audit Bersih selama lebih dua dekad mencerminkan kekuatan institusi tadbir urus negeri serta komitmen berterusan terhadap akauntabiliti, integriti dan kecemerlangan pengurusan kewangan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, nilai aset di bawah pengurusan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF) dijangka mencecah RM9.05 bilion menjelang akhir 2026.

“SSWFF merupakan simpanan jangka panjang antara generasi yang bertujuan mempelbagaikan sumber pelaburan negeri dan menukar sebahagian hasil hari ini kepada kekayaan berkekalan untuk generasi akan datang.

“Dengan peruntukan RM300 juta tahun ini, jumlah keseluruhan peruntukan kepada dana berkenaan akan terus meningkat sejak penubuhannya pada 2024,” jelasnya.

Menurutnya, dana itu memberi keutamaan kepada pemeliharaan modal pada peringkat awal pembentukan portfolio sebelum memperluas pelaburan secara berperingkat dalam kelas aset yang diluluskan lembaga pengarah.

“Pengiktirafan antarabangsa terhadap pengurusan dana berkenaan turut dibuktikan menerusi kelulusannya sebagai ahli bersekutu Forum Antarabangsa Dana Kekayaan Berdaulat.

“Pengurusan dana yang berpandukan Prinsip Santiago ini meletakkan SSWFF pada landasan untuk memperoleh keahlian penuh, selain memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan kemampanan pengurusan kekayaan negeri.

“Keputusan yang kita buat hari ini akan membentuk masa depan negeri serta kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

BERITA LAIN

Jambatan Batang Paloh dibuka 30 Oktober

KUCHING: Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer dijadual dibuka kepada pengguna jalan raya pada 30 Oktober ini, sekali gus meningkatkan hubungan darat penduduk Pulau Bruit

BERITA TERBARU

Jambatan Batang Paloh dibuka 30 Oktober

KUCHING: Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer dijadual dibuka kepada pengguna jalan raya pada 30 Oktober ini, sekali gus meningkatkan hubungan darat penduduk Pulau Bruit