ARTIKEL

Jambatan Batang Paloh dibuka 30 Oktober

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer dijadual dibuka kepada pengguna jalan raya pada 30 Oktober ini, sekali gus meningkatkan hubungan darat penduduk Pulau Bruit dengan Daro, Tanjung Manis, Sarikei dan kawasan lain di pesisir Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembukaan jambatan itu menjadikan 13 daripada keseluruhan 22 jambatan mega di negeri ini siap dan dibuka kepada orang ramai sejak November 2024.

“Pembinaan 22 jambatan ini menelan belanja RM6.55 bilion, manakala rangkaian Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua Sarawak melibatkan pelaburan keseluruhan RM11 bilion dengan panjang 654.70 kilometer,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.

Menurutnya, Jambatan Batang Lupar 2 sepanjang 870 meter yang mempunyai menara jambatan tertinggi di Sarawak, iaitu 145.5 meter, dijangka dibuka pada November ini.

Kemudahan itu, katanya, bakal memendekkan perjalanan antara Sri Aman dengan Betong daripada 73 kilometer kepada kira-kira 28 kilometer, selain mengurangkan tempoh perjalanan daripada sejam kepada sekitar 25 minit.

“Dalam perkembangan berkaitan, Jambatan Batang Saribas 2 sepanjang 2.39 kilometer di kawasan Pusa, Bahagian Betong disasarkan siap pada Disember ini, manakala Jambatan Sungai Limbang sepanjang 772.4 meter dijangka dibuka kepada orang ramai pada bulan sama.

“Jambatan Sungai Limbang dijangka menjimatkan masa perjalanan sehingga satu jam 30 minit serta meningkatkan potensi pelancongan di kawasan berkenaan,” katanya.

Douglas berkata, apabila keseluruhan jambatan dan jalan penghubung siap, pelaksanaan projek berkenaan dijangka menghapuskan sembilan lintasan feri, selain memendekkan jarak perjalanan Kuching-Sibu daripada kira-kira 396 kilometer kepada 252 kilometer dan mengurangkan masa perjalanan pengguna.

Bagi memperkukuh kemudahan perhubungan di kawasan luar bandar, kerajaan negeri turut melaksanakan Program Transformasi Jambatan Luar Bandar (RBTP) bernilai RM400 juta, membabitkan kerja menaik taraf dan menggantikan 135 jambatan kecil, khususnya di sepanjang jalan bekas pembalakan dan jalan balak.

Daripada jumlah itu, katanya, 39 jambatan siap dibina, 31 masih dalam pembinaan, 17 berada pada peringkat tender dan 48 lagi di peringkat prakontrak.

Beliau turut memaklumkan bahawa pembangunan STOLport Bebuling di Spaoh, Betong, bernilai RM248 juta, sudah siap dan berjaya menjalani penerbangan percubaan pada September lalu.

“Perkhidmatan penumpang yang menghubungkan Betong dengan Kuching, Sibu dan Miri disasarkan bermula pada 2027, manakala kemudahan itu turut berpotensi memperluas penghantaran hasil pertanian ke pasaran lebih besar.

“Selain itu, kerajaan sedang meneliti cadangan menubuhkan Akademi Penerbangan CENTEXS bagi menyediakan latihan berkaitan penerbangan dan teknologi dron kepada golongan muda Sarawak, sekali gus membuka ruang pembangunan kemahiran baharu,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

1,246 projek AF siap, 67 peratus sasaran Sarawak dicapai

KUCHING: Sebanyak 1,246 daripada 1,869 projek pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak menerusi inisiatif Pembiayaan Alternatif (AF) sudah siap, bersamaan 67 peratus daripada keseluruhan projek setakat