KUCHING: Kejayaan Belanjawan Sarawak 2027 tidak hanya bergantung kepada jumlah peruntukan atau kekuatan kewangan negeri, sebaliknya perlu dibuktikan melalui peningkatan taraf hidup rakyat, peluang ekonomi lebih luas dan pembangunan yang dinikmati secara menyeluruh.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, belanjawan itu dirangka bagi mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pengurusan kewangan yang berhemat, selain memastikan kemakmuran negeri kekal mampan dan manfaatnya dikongsi semua lapisan masyarakat.
“Tumpuan kerajaan bukan sekadar membangunkan ekonomi masa depan, tetapi pada masa sama memenuhi keperluan rakyat ketika ini melalui penyediaan infrastruktur, kemudahan asas, pendidikan dan perlindungan sosial.
“Justeru, kejayaan Belanjawan Sarawak 2027 mesti dilihat melalui kesalinghubungan yang lebih baik, peluang lebih luas, komuniti lebih kukuh dan peningkatan kualiti hidup rakyat Sarawak,” katanya.
Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan DUN Sarawak di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, belanjawan yang memperuntukkan RM10.098 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM5.747 bilion untuk perbelanjaan mengurus itu mencerminkan keutamaan kerajaan melaksanakan pembangunan sambil mengekalkan disiplin fiskal.
“Pelaburan ini penting untuk membuka potensi ekonomi, memudahkan pertumbuhan sektor swasta serta memastikan pembangunan sampai ke seluruh pelosok Sarawak.
“Pada masa sama, sumber yang besar terus disalurkan kepada pendidikan, pembangunan kemahiran dan modal insan kerana daya saing ekonomi akhirnya bergantung kepada keupayaan serta kebolehsuaian rakyat,” ujarnya.
Beliau menambah, pelaburan strategik turut memberi tumpuan kepada peralihan tenaga, pembangunan industri, infrastruktur digital, penyelidikan dan inovasi bagi merealisasikan aspirasi Sarawak sebagai hab tenaga hijau ASEAN serta destinasi pelaburan pilihan.
“Pembangunan sektor baharu itu diharap dapat menjana pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi dan peluang pekerjaan bergaji lebih baik, selain memanfaatkan kekuatan Sarawak dalam sektor tenaga dan sumber asli,” jelasnya.
Dalam aspek kesejahteraan rakyat, Uggah berkata, kerajaan terus memperkukuh perkhidmatan kesihatan, program perlindungan sosial dan pembangunan komuniti bagi memastikan pertumbuhan ekonomi bergerak seiring dengan keterangkuman sosial.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha pemuliharaan alam sekitar, pengurusan sumber secara mampan dan tindakan berkaitan perubahan iklim perlu menjadi sebahagian daripada strategi pembangunan jangka panjang.
Mengulas hala tuju Sarawak menjelang 2030, beliau berkata, kepimpinan negeri perlu melihat pembangunan melangkaui satu-satu belanjawan atau rancangan dengan memastikan kestabilan, perpaduan dan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Katanya, kemajuan negeri tidak seharusnya menyebabkan mana-mana wilayah atau komuniti tercicir, sebaliknya perlu membuka ruang penyertaan lebih luas dalam pertumbuhan ekonomi.
“Kita tidak boleh membiarkan kekangan masa lalu menentukan kemungkinan masa depan. Masa depan mesti dibentuk berdasarkan aspirasi dan keutamaan kita sendiri, sambil memahami tanggungjawab dalam Persekutuan serta mempertahankan kepentingan sah Sarawak dengan kebijaksanaan dan ketegasan,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan, kejayaan agenda pembangunan Sarawak memerlukan tanggungjawab bersama semua pihak untuk memastikan setiap dasar dan peruntukan menghasilkan pencapaian yang nyata.



