ARTIKEL

Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak. Foto: Penerangan

Uggah tolak gesaan hentikan projek lapangan terbang, KUTS-ART dan pelabuhan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen supaya projek Lapangan Terbang Antarabangsa baharu Kuching, KUTS-ART dan cadangan pelabuhan laut dalam dihentikan berasaskan pemikiran yang cetek dan pandangan jangka pendek.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua, berkata, Chieng Jen mendefinisikan kearifan sebagai tindakan mengelak daripada membuat pelaburan besar.

Beliau berkata, kerajaan pula mendefinisikan kearifan sebagai membuat pelaburan strategik yang disokong perancangan yang rapi, tadbir urus yang baik, serta kewajaran ekonomi jangka panjang.

“Terdapat perbezaan yang amat nyata di sini. Kearifan bukannya ketiadaan perbelanjaan, tetapi kearifan ialah pengagihan sumber secara bijaksana demi menjamin kemakmuran masa hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.

Uggah berkata, kerajaan tidak melaksanakan projek ini tanpa perancangan yang teliti.

Beliau menjelaskan, projek itu disokong objektif ekonomi jangka panjang, pembandaran yang kian berkembang, aktiviti perindustrian yang semakin meluas, serta aspirasi Sarawak untuk menjadi hab serantau bagi tenaga, perdagangan dan pelaburan.

“Tiada ekonomi maju di dunia yang mampu mencapai transformasi tanpa membuat pelaburan dalam infrastruktur strategik terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, infrastruktur strategik ini ialah satu bentuk pelaburan kerana lapangan terbang, pelabuhan dan sistem transit bandar mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan swasta, merangsang aktiviti perniagaan, serta menjana pertumbuhan ekonomi untuk tempoh berdekad-dekad.

“Hakikatnya, tindakan untuk kekal pada status quo boleh membawa kos yang lebih tinggi berbanding kos pembinaan itu sendiri akibat kehilangan pelaburan, terlepas peluang, dan pertumbuhan yang lebih perlahan.

“Oleh itu, pilihan di hadapan kita adalah mudah, melabur demi masa hadapan, atau berdepan risiko ditinggalkan,” katanya.

Katanya, oleh itu Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih untuk melabur dalam masa hadapan Sarawak.

Katanya, masa hadapan Sarawak tidak dapat dijamin dengan hanya berdiam diri, sebaliknya dijamin menerusi perancangan yang berani, pelaburan yang bijak dan pelaksanaan yang bertanggungjawab.

“Atas sebab-sebab ini, saya menolak gesaan Ahli Yang Berhormat bagi Padungan untuk menghentikan projek-projek strategik ini, dan menyokong penuh pelaksanaan berterusan projek-projek berkenaan demi kepentingan generasi rakyat Sarawak masa kini dan masa hadapan,” katanya.

BERITA LAIN

Awas tawaran dan perolehan palsu guna nama UNIMAS

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menggesa orang ramai melaporkan kepada pihak Universiti sebarang penggunaan identiti rasmi yang mencurigakan, khususnya bagi urusan tawaran, pelantikan vendor dan

BERITA TERBARU