ARTIKEL

Borneo Raft Safari diiktiraf produk pelancongan sukan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Liga Borneo Raft Safari yang menghimpunkan lima acara perlumbaan rakit buluh di seluruh negeri mendapat pengiktirafan Kerajaan Sarawak sebagai produk pelancongan sukan, sekali gus mengangkat sukan tradisional itu sebagai tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi dan warisan budaya.

Pengiktirafan tersebut diumumkan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.

Penganjur Borneo Raft Safari dalam kenyataan semalam menyambut baik perkembangan itu, yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah memperluas kerjasama strategik antara penganjur, agensi kerajaan dan komuniti setempat.

“Pengiktirafan ini satu perkembangan penting dalam usaha menjadikan perlumbaan rakit buluh sebagai produk pelancongan sukan yang lebih tersusun, selain mengekalkan nilai budaya dan warisan masyarakat Sarawak.

“Melalui liga ini, kita mahu menghubungkan pelbagai lokasi pertandingan dalam satu platform yang mampu menarik penyertaan lebih luas serta memberi manfaat kepada komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.

Liga berkenaan menghimpunkan lima acara utama, iaitu Padawan Raft Safari, Mulu Eco Challenge, Selangau Raft Safari, Mukah Raft Safari dan Serian Rafting Challenge.

Kesemua pertandingan diselaraskan menerusi sistem penjenamaan, piawaian pertandingan, promosi dan pengumpulan mata liga yang membolehkan pasukan mengumpul mata daripada beberapa siri perlumbaan sepanjang musim.

“Menerusi sistem mata liga, pasukan digalakkan menyertai pertandingan di lokasi berbeza, sekali gus meningkatkan pergerakan peserta dan pengunjung antara destinasi pelancongan di Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, selain menawarkan cabaran sukan air, setiap acara turut memperkenalkan keunikan sungai, landskap semula jadi dan budaya masyarakat tempatan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Pelaksanaan liga itu turut berpotensi merancakkan ekonomi komuniti melalui perbelanjaan peserta dan pengunjung, terutama dalam sektor penginapan, makanan, perkhidmatan pelancongan serta pembuatan rakit.

“Penganjuran di pelbagai lokasi pula membuka peluang kepada pengusaha kecil dan komuniti tempatan untuk menerima manfaat ekonomi, di samping memperkenalkan keunikan kawasan masing-masing kepada pengunjung,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, usaha seterusnya akan memberikan tumpuan kepada pemantapan pengurusan liga, penglibatan komuniti serta kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memastikan sukan rakit buluh terus berkembang tanpa mengetepikan identiti tradisionalnya.

“Hasrat kami ialah untuk membangunkan acara ini sebagai platform yang menggabungkan sukan, pelancongan, warisan budaya dan pelibatan masyarakat.

“Sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan pengembaraan berasaskan alam semula jadi,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Perlumbaan Borneo Raft Safari, Awang Saifeluddin turut bertemu Abdul Karim bagi berkongsi perkembangan serta hala tuju penganjuran liga tersebut.

Pada pertemuan itu, beliau menyerahkan koleksi pingat daripada siri perlumbaan sebagai tanda penghargaan, selain memperlihatkan perkembangan pertandingan yang kini disatukan di bawah Borneo Raft Safari.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Awas tawaran dan perolehan palsu guna nama UNIMAS

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menggesa orang ramai melaporkan kepada pihak Universiti sebarang penggunaan identiti rasmi yang mencurigakan, khususnya bagi urusan tawaran, pelantikan vendor dan