CYBERJAYA: Akaun Facebook “Che GuBard” disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kandungan yang dimuat naik dan disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.
Kenyataan media SKMM hari ini memaklumkan bahawa kandungan berkenaan menyentuh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, serta kerabat diraja Negeri Sembilan.
Susulan itu, individu yang dipercayai mengendalikan akaun berkenaan hadir di Balai Polis Cyberjaya hari ini bagi membantu siasatan.
Rakaman percakapan dibuat bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Sebuah telefon pintar dan seunit kad SIM turut dirampas.
“SKMM memandang serius sebarang penggunaan platform dalam talian yang boleh mencetuskan kebencian, penghinaan atau rasa tidak hormat terhadap Institusi Diraja.
“Kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab serta selaras dengan undang-undang negara.
“Sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan dan proses perundangan yang berkuat kuasa,” tegas kenyataan terbabit.




