ARTIKEL

Sesi libat urus bersama penyedia perkhidmatan penstriman video

Penyedia OTT dan VOD diingatkan urus kandungan secara bertanggungjawab

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkukuh pengurusan kandungan platform penstriman video bagi memastikan sensitiviti agama, kaum, budaya dan sosial di negara ini terus dihormati.

Menurut kenyataan media SKMM hari ini, langkah itu turut menekankan perlindungan kanak-kanak daripada kandungan tidak sesuai menerusi semakan dalaman, pengelasan umur, kawalan ibu bapa serta mekanisme aduan yang mudah diakses.

Usaha itu dibincangkan dalam sesi libat urus antara SKMM dengan penyedia perkhidmatan penstriman video, termasuk platform Over-the-Top (OTT) dan Video-on-Demand (VOD), yang diadakan dengan kerjasama Content Forum di Cyberjaya, semalam.

Sesi berkenaan selaras dengan penekanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, bahawa kebebasan berkarya perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab menghormati nilai agama, keharmonian kaum dan sensitiviti budaya yang menjadi asas perpaduan negara.

Perbincangan turut mengambil kira perbezaan kerangka kawal selia antara perkhidmatan OTT dan VOD dengan penyiaran konvensional, selain memberi ruang kepada pemain industri berkongsi pandangan dan mencadangkan langkah penambahbaikan yang praktikal.

“Penyedia perkhidmatan perlu mengurus kandungan secara bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang Malaysia yang berkuat kuasa.

“SKMM dan Content Forum akan terus bekerjasama dengan industri bagi memperkukuh kawal selia kendiri, perlindungan pengguna dan akauntabiliti bersama, namun tindakan kawal selia sewajarnya akan tetap diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya.

Antara pemain industri yang menyertai sesi itu ialah Netflix, Apple TV, Motion Picture Association (MPA), Asia Video Industry Association (AVIA), Astro GO, Sooka, iQIYI, Media Prima Berhad menerusi Tonton, MYTV Mana-Mana, Unifi TV dan Viu.

Sesi itu turut melibatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan perbincangan merangkumi pematuhan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta garis panduan pengelasan kandungan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

234 daripada 595 projek agensi wilayah Sarawak siap

KUCHING: Sebanyak 234 daripada 595 projek pembangunan di bawah tiga agensi pembangunan wilayah Sarawak telah siap, merangkumi pelbagai inisiatif infrastruktur dan sosioekonomi bagi meningkatkan kemudahan