KUCHING: Sebanyak 234 daripada 595 projek pembangunan di bawah tiga agensi pembangunan wilayah Sarawak telah siap, merangkumi pelbagai inisiatif infrastruktur dan sosioekonomi bagi meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
‘’Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) kini menyelia sebanyak 41 projek pembangunan di bawah URDA dengan 24 daripadanya telah siap, 13 sedang dilaksanakan dan empat lagi berada pada peringkat penyediaan dokumen tender,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan penggulungan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Uggah berkata, antara projek yang siap di bawah URDA ialah Jalan Ngungun/Jagau di Kanowit pada 7 Jun lalu serta jalan baharu yang menghubungkan Jambatan Baleh, Rumah Belaja, Nanga Benin, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Pelagus dan Pelagus Resort (Fasa 1 – Seksyen 2) pada 6 Ogos lalu.
‘’Sementara itu, sebanyak 25 daripada 43 projek infrastruktur di bawah HDA telah disiapkan, manakala 15 projek sedang dalam pembinaan dan tiga lagi berada pada peringkat reka bentuk terperinci,’’ katanya.
Beliau menambah, Projek Jalan Miri–Marudi, Marudi–Mulu (Kuala Melinau) dan Long Lama–Long Panai (MMMLL) turut mencatat kemajuan lebih awal daripada jadual, dengan kemajuan fizikal Pakej Kontrak 1 mencapai 39.93 peratus dan Pakej Kontrak 2 sebanyak 32.56 peratus setakat September lalu.
Bagi BDDA pula, katanya, sebanyak 185 daripada 511 projek pembangunan bernilai RM1.48 bilion telah siap, manakala 112 sedang dalam pembinaan dan 214 lagi berada pada peringkat prakontrak.
‘’Daripada 112 projek yang sedang dibina itu, sebanyak 13 projek mencatat kemajuan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan,’’ katanya.
Uggah berkata, kerajaan Sarawak akan terus menekankan pelaksanaan program ekonomi dan pendidikan menerusi agensi pembangunan wilayah bagi meningkatkan kemahiran serta pendapatan masyarakat setempat.
Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memperbaiki taraf hidup penduduk, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).



