KUCHING: Seramai 455 kontraktor Bumiputera dipilih menyertai 130 projek menerusi Program Kontraktor Berdaya Saing (PKBS) sejak diperkenalkan pada 2023, dengan jumlah peruntukan diluluskan RM79.8 juta.
Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 80 projek bernilai RM42.48 juta diberikan kepada 51 kontraktor yang berjaya.
Menurut beliau, kerajaan negeri terus memperkukuh sokongan kepada kontraktor dan usahawan Bumiputera melalui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan keupayaan perniagaan, memperluas penyertaan dalam projek kerajaan serta membina perusahaan yang mampan.
“Sehingga September 2026, sebanyak 261 permohonan di bawah Program Peningkatan Usahawan Bumiputera (PUTERA) diluluskan dengan nilai bantuan RM1.9 juta, meliputi penyediaan peralatan, jentera dan keperluan operasi perniagaan.
“Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 25 Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) kini beroperasi di seluruh Sarawak dengan penyertaan 5,953 peserta, manakala sebuah pusat baharu di Subis dijadual memulakan operasi tahun depan,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Skim Program Bumiputera (SPKB) turut mencatat peningkatan apabila 81 kontraktor menerima pembiayaan RM10.5 juta setakat September tahun ini, berbanding 62 kontraktor yang memperoleh RM8.4 juta pada tahun lalu.
Selain itu, Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak (STIDC) melantik 30 vendor perabot Bumiputera untuk membekalkan perabot ke pejabat kerajaan, dengan nilai kontrak berjumlah RM5 juta setahun.
Uggah berkata, usaha meningkatkan kemahiran kontraktor dan pembekal turut diteruskan menerusi latihan berasaskan kompetensi, kursus umum serta pembelajaran dalam talian.
Beliau berkata, sehingga September 2026, sebanyak 89 kursus dilaksanakan dengan penyertaan 4,735 peserta.



