KUCHING: Sebanyak 1,246 daripada 1,869 projek pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak menerusi inisiatif Pembiayaan Alternatif (AF) sudah siap, bersamaan 67 peratus daripada keseluruhan projek setakat ini.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, baki 623 projek atau 33 peratus lagi sedang dilaksanakan pada pelbagai peringkat.
“Di bawah inisiatif AF, sebanyak 1,246 projek atau 67 peratus daripada 1,869 projek telah siap, manakala baki 623 projek atau 33 peratus lagi berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Uggah, yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, berkata antara projek utama di bawah inisiatif itu ialah Rangkaian Jalan Pesisir Sarawak dan Rangkaian Jalan Utama Kedua, yang masing-masing mencatatkan kemajuan pelaksanaan sebanyak 97 peratus dan 59 peratus setakat September 2026.
Menurutnya, beberapa jambatan utama sudah dibuka kepada orang ramai sepanjang tahun ini, termasuk Jambatan Batang Igan, Jambatan Batang Lupar Satu, Jambatan Sungai Krian dan Jambatan Sejingkat.
“Sementara itu, beberapa jambatan utama lain, iaitu Jambatan Batang Lupar Dua, Jambatan Batang Saribas Dua, Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Rambungan, dijangka siap secara berperingkat bagi membuka peluang baharu kepada masyarakat luar bandar,” ujarnya.
Mengulas perkembangan infrastruktur di utara Sarawak, beliau berkata Lebuh Raya Pesisir Utara yang merangkumi kira-kira 87.96 kilometer jalan raya berkembar dan 10.16 kilometer jalan penghubung turut menunjukkan kemajuan pelaksanaan di Limbang dan Lawas.
Katanya, pembangunan itu akan terus memperkukuh jaringan perhubungan di wilayah utara Sarawak, termasuk hubungan dengan Sabah dan negara jiran, Brunei Darussalam.
Dalam pada itu, Uggah berkata Kerajaan Sarawak terus mempergiat pelaburan dalam penyediaan infrastruktur asas, khususnya bagi meningkatkan akses kepada bekalan air bersih di seluruh Sarawak.
Program Kawasan Bertekanan bagi Grid Bekalan Air Sarawak, yang melibatkan jumlah pelaburan keseluruhan kira-kira RM4 bilion, sudah mencapai liputan bekalan air melebihi 99 peratus di kawasan bandar dan 72 peratus di kawasan luar bandar.
“Secara kumulatif, sebanyak RM3.231 bilion telah dibelanjakan setakat September 2026.
“Sebanyak RM1.085 bilion lagi telah diperuntukkan bagi menggantikan saluran paip usang, dengan sepanjang 237.68 kilometer saluran paip berjaya diganti,” katanya.
Menyentuh pelaksanaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), beliau berkata projek itu terus menunjukkan kemajuan stabil dengan kemajuan fizikal keseluruhan mencapai 49 peratus.
Menurutnya, pelaksanaan perintis sistem Transit Rapid Autonomi (ART) berkuasa hidrogen dijangka bermula menjelang akhir tahun ini.
“Pelaksanaan itu bakal menandakan satu lagi pencapaian penting dalam peralihan Sarawak ke arah sistem pengangkutan awam yang lebih hijau dan inovatif,” katanya.



