KUCHING: Sebanyak RM5.6 bilion atau 58 peratus daripada peruntukan RM9.7 bilion bagi pelaksanaan projek dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Sarawak sudah dibelanjakan setakat ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak 86 daripada keseluruhan 1,203 projek dan inisiatif yang diluluskan sudah siap, manakala baki 1,117 lagi berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
“RMK-13 melibatkan siling peruntukan RM52.5 bilion, merangkumi 832 projek pembangunan fizikal dan 371 inisiatif bukan fizikal termasuk geran, pelaburan strategik serta program pembangunan.
“Memandangkan 2026 ialah tahun pertama RMK-13, pelaksanaan masih dalam proses meningkatkan momentum dan dijangka lebih rancak sepanjang baki tempoh rancangan,” katanya.
Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan, sebanyak 1,146 projek dengan peruntukan RM6 bilion telah diluluskan menerusi Pelan Pelaksanaan Pertama RMK-13 bagi 2026.
“Daripada jumlah itu, RM3.2 bilion atau 53 peratus telah dibelanjakan, dengan 256 projek siap dan baki 890 projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pegawai dan agensi pelaksana mempercepat pelaksanaan projek, memastikan peruntukan digunakan secara cekap serta memantau keberhasilan setiap projek.
Dalam perkembangan berkaitan, Uggah berkata, sebanyak RM169 juta daripada peruntukan RM353 juta bagi projek rakyat sudah dibelanjakan sehingga September lalu, dengan prestasi perbelanjaan dijangka meningkat menjelang akhir tahun.
“Sementara itu, Program Transformasi Luar Bandar (RTP) merekodkan 988 projek siap daripada keseluruhan 3,935 projek yang diluluskan bagi 2026, melibatkan perbelanjaan RM298 juta atau 66 peratus daripada peruntukan RM450 juta.
“Lebih 11,000 projek RTP telah berjaya dilaksanakan di seluruh Sarawak sepanjang tempoh Rancangan Malaysia terdahulu,” ujarnya.
Bagi Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS), katanya, sebanyak RM56 juta atau 80 peratus daripada peruntukan RM70 juta tahun ini sudah dibelanjakan setakat September.
“Program yang menyediakan bantuan pembaikan rumah sehingga RM15,000 bagi setiap isi rumah layak itu telah memberi manfaat kepada kira-kira 73,008 penerima sejak diperkenalkan pada 2018.
“Melalui program ini, kita akan terus memastikan golongan yang memerlukan mempunyai kediaman yang selamat dan selesa,” katanya.
Dalam aspek bantuan kos sara hidup, beliau berkata, sebanyak RM427 juta daripada peruntukan RM680 juta Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) sudah disalurkan kepada 823,073 penerima setakat September tahun ini.
“Baki peruntukan SKAS akan diagihkan pada November bagi memastikan penerima yang layak terus mendapat bantuan untuk membeli barangan keperluan asas,” katanya.



