ARTIKEL

Frisbee Mukah: Empat pasukan juara empat kategori

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Empat pasukan muncul juara dalam empat kategori Kejohanan Ultimate Frisbee Bahagian Mukah 2026 di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Seberang pada 17 hingga 18 Oktober lalu.

Seberang Fighters A Ultimate dari SK Kampung Seberang menjuarai kategori lelaki bawah 12 tahun, manakala SKY Valkyries dari SK Parish muncul juara kategori perempuan bawah 12 tahun.

Bagi kategori bawah 18 tahun, Newbees Ultimate dan Flying Titan, masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick, merangkul kejuaraan kategori lelaki dan perempuan.

Kejohanan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah dengan kerjasama SMK St Patrick dan SK Kampung Seberang itu menghimpunkan 35 pasukan dari sekolah rendah dan menengah sekitar Mukah.

Penyelaras kejohanan, Ismandi Dillah, berkata penganjuran tahun ini memberi peluang kepada bakat muda sekolah rendah untuk mengembangkan potensi dalam sukan berkenaan.

RAKAM KENANGAN….Peserta Kejohanan Ultimate Frisbee Bahagian Mukah 2026 merakam kenangan selepas kejohanan berkenaan.

“Sebanyak 11 pasukan bawah 12 tahun menyertai kejohanan itu, melibatkan SK Kampung Seberang, SK Kampung Tellian, SK Kuala Balingian, SK Penakup Ulu dan SK Parish.

“Bagi kategori bawah 18 tahun pula, sebanyak 14 pasukan lelaki dan 10 pasukan perempuan mengambil bahagian, mewakili SMK St Patrick, SMK Three Rivers, SMK Mukah, SMK Oya, SMK Agama Igan dan MRSM Mukah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam kategori lelaki bawah 12 tahun, Seberang Fighters A Ultimate dari SK Kampung Seberang muncul juara, diikuti Seberang Fighters B Ultimate dari sekolah yang sama sebagai naib juara.

Jelasnya, SKPU Spin Strikers dari SK Penakup Ulu menduduki tempat ketiga, manakala Tellian’s Titan dari SK Kampung Tellian berada di tempat keempat.

Bagi kategori perempuan bawah 12 tahun, SKY Valkyries dari SK Parish merangkul kejuaraan, diikuti Tellian Xypher sebagai naib juara.

SKPU Frisbee dari SK Penakup Ulu menduduki tempat ketiga, manakala Seberang Fighters dari SK Kampung Seberang berada di tempat keempat.

Dalam kategori lelaki bawah 18 tahun, Newbees Ultimate dari SMK St Patrick muncul juara, manakala Flying TRS dari SMK Three Rivers menduduki tempat kedua.

Dragon Ultimate dari SMK St Patrick berada di tempat ketiga, diikuti Bletz Ultimate dari MRSM Mukah di tempat keempat.

Kategori perempuan bawah 18 tahun pula menyaksikan Flying Titan dari SMK St Patrick muncul juara, manakala Velvet Winga dari SMK Mukah menduduki tempat kedua.

Aero Raptors dari SMK Three Rivers berada di tempat ketiga, sementara Elsavaro Ultimate dari MRSM Mukah melengkapkan senarai empat pasukan terbaik.

“Anugerah khas Top Assist dan Top Scorer bagi kategori bawah 12 tahun lelaki masing-masing dimenangi Muhammad Aryan Arislan (15 bantuan jaringan) dan Muhammad Hariz Farhad Razman (23 jaringan) dari Seberang Fighters, manakala kategori perempuan menyaksikan Nor Aisya Fitri Abdullah dari SKPU Frisbee (15 bantuan jaringan) dan Qaira Syazia Rano dari Tellian Xypher (12 jaringan) menerima pengiktirafan sama.

“Bagi kategori bawah 18 tahun lelaki, Herrens Kiew Xuan Yii dan Brandon Fernandez Benedict Girim dari Newbees Ultimate masing-masing meraih anugerah Top Assist (29 bantuan jaringan) dan Top Scorer (21 jaringan).

“Kategori perempuan pula menyaksikan dua pemain Flying Titan dari SMK St Patrick, Audryna Minda Lawan (25 bantuan jaringan) dan Audrysha Mayang Lawan (19 jaringan), memenangi anugerah Top Assist dan Top Scorer,” tambahnya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Mukah, Mohamad Arbi Rosli, berkata Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah akan membantu usaha menubuhkan kelab sukan frisbee bagi memperluas penyertaan masyarakat dalam sukan berkenaan.

Arbi menambah, pihaknya juga berharap dapat menganjurkan kejohanan seumpama itu sekali lagi pada tahun depan bagi meneruskan usaha membangunkan sukan frisbee serta mencungkil lebih ramai bakat baharu di Bahagian Mukah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU