KUCHING: Dasar penyertaan minimum 30 peratus kontraktor bumiputera dalam projek pembangunan utama Sarawak hanya terpakai bagi projek bernilai RM100 juta ke atas yang dilaksanakan melalui beberapa pakej kerja berasingan oleh jabatan negeri, badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sarawak.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua berkata, dasar itu bukan dasar menyeluruh yang dikuatkuasakan ke atas semua projek atau urusan perolehan Kerajaan Sarawak seperti yang didakwa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen.
Katanya, di bawah dasar berkenaan, sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah nilai pakej projek perlu diperuntukkan kepada kontraktor bumiputera.
“Penekanan perlu diberikan bahawa syarat 30 peratus ini tidak bermakna setiap projek atau setiap pakej perolehan mesti diperuntukkan khas bagi kontraktor bumiputera.
“Sebaliknya, syarat ini dinilai berdasarkan nilai agregat pakej-pakej kontrak dalam sesuatu projek berskala besar yang layak,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Menurut Uggah, hanya bahagian yang diperuntukkan secara khusus bagi memenuhi syarat penyertaan itu tertakluk kepada dasar berkenaan, manakala pakej lain terus dianugerahkan melalui proses perolehan biasa.
Jelasnya, kontraktor bukan bumiputera masih diperlukan dalam pelaksanaan projek berkenaan, termasuk sebagai kontraktor utama, rakan usaha sama dan subkontraktor.
Beliau turut menegaskan dasar berkenaan bukan permainan sifar (zero-sum game), sebaliknya penyertaan ekonomi bumiputera yang lebih kukuh mampu memperluas peluang dan manfaat kepada semua pihak.
“Ia akan mewujudkan rantaian bekalan baharu, peluang subkontrak baharu serta Sarawak yang lebih stabil dan saksama.
“Saya menggesa Ahli Yang Berhormat bagi Padungan agar berhenti melihat perkara ini melalui kanta tahun 1971 dan perspektif perkauman,” katanya.
Uggah berkata, Chieng Jen seharusnya melihat ke hadapan ketika Sarawak membina masa depan yang membolehkan setiap rakyat, tanpa mengira kaum dan latar belakang, turut menikmati kemakmuran negeri.
Katanya, kuota 30 peratus itu ketika ini ialah instrumen penting bagi memastikan pengagihan kekayaan yang lebih saksama.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan menyemak semula dasar berkenaan apabila kontraktor dan perniagaan bumiputera berupaya berdikari serta bersaing dalam keadaan yang lebih seimbang.



