KUCHING: Pemulihan harga minyak mentah Brent pada 2026 tidak semestinya meningkatkan hasil petroleum Sarawak kerana pendapatan negeri turut dipengaruhi oleh jumlah pengeluaran, harga jualan sebenar, corak eksport, permintaan pasaran dan masa urus niaga.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata andaian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen bahawa kenaikan harga Brent secara automatik meningkatkan hasil negeri tidak menggambarkan keseluruhan faktor yang mempengaruhi industri petroleum.
Menurutnya, harga minyak mentah hanyalah satu daripada beberapa faktor yang menentukan pendapatan petroleum, justeru tidak wajar dijadikan ukuran tunggal dalam menilai prestasi hasil negeri.
“Sekiranya hasil petroleum hanya ditentukan oleh harga Brent, proses meramalkan hasil belanjawan sudah tentu menjadi amat mudah.
“Setiap kerajaan pengeluar minyak di seluruh dunia hanya perlu memantau satu angka untuk meramalkan hasil mereka dengan tepat. Namun, hakikatnya industri petroleum tidak beroperasi sedemikian,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Douglas Uggah turut menyifatkan hujah Chong sebagai penaakulan terpilih yang cenderung menyokong naratif politik tanpa mengambil kira keseluruhan faktor yang menentukan hasil petroleum negeri.
Mengulas prestasi kewangan Sarawak bagi 2025 dan 2026, beliau menjelaskan bahawa setiap belanjawan dirangka berdasarkan maklumat terbaik yang tersedia ketika itu, termasuk prestasi ekonomi semasa dan unjuran bagi tahun berikutnya.
“Bagaimanapun, tiada kerajaan mampu menjangkakan dengan tepat setiap kejutan luaran, khususnya ketidaktentuan ekonomi global yang boleh menjejaskan unjuran hasil selepas sesuatu belanjawan disediakan,” katanya.
Beliau berkata ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meruncing pada 2025 menyebabkan pasaran komoditi melemah, pertumbuhan ekonomi perlahan dan harga petroleum menurun, sekali gus menjejaskan hasil berkaitan petroleum Sarawak.
Tegasnya, penyusutan hasil berkenaan bukan berpunca daripada kelemahan dasar atau kegagalan pentadbiran kerajaan, sebaliknya kesan faktor luaran yang turut mempengaruhi ekonomi Sarawak sebagai sebuah ekonomi terbuka.
“Sehubungan itu, kerajaan perlu menyelaraskan unjuran hasil dan keperluan perbelanjaan mengikut perubahan keadaan ekonomi bagi memastikan kestabilan kewangan negeri terus terpelihara,” jelasnya.
Terdahulu, Chong semasa membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 mempersoalkan prestasi hasil negeri yang menurutnya tidak mencapai jangkaan meskipun harga minyak mentah antarabangsa meningkat, sekali gus sepatutnya memberikan pulangan lebih tinggi daripada sumber berkaitan petroleum.
Pada pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 pada 12 Oktober lalu, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa unjuran hasil negeri bagi 2026 disemak meningkat kepada RM13.571 bilion berbanding anggaran asal RM13.049 bilion, terutama susulan peningkatan geran khas Kerajaan Persekutuan.



