KUCHING: Sebanyak RM1.266 bilion diperuntukkan bagi meneruskan dua projek infrastruktur utama Sarawak menerusi Belanjawan 2027, membabitkan RM366 juta untuk Jalan Pesisir dan RM900 juta bagi Jalan Utama Kedua.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan itu sebahagian daripada pembiayaan alternatif berjumlah RM2.27 bilion yang disediakan kerajaan bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur negeri.
“Selain itu, sebanyak RM742 juta turut diperuntukkan bagi pembinaan jalan raya dan jambatan di seluruh Sarawak, termasuk Program Transformasi Jambatan Luar Bandar serta kerja kecemasan membaik pulih infrastruktur awam yang rosak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Uggah berkata, Belanjawan Sarawak 2027 menyediakan peruntukan pembangunan paling tinggi setakat ini, iaitu RM10.098 bilion, dengan 64 peratus daripadanya disalurkan kepada pembangunan luar bandar.
“Peruntukan pembangunan ini mencerminkan usaha Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memastikan pembangunan yang seimbang dan inklusif, terutama dalam menambah baik infrastruktur serta akses ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kementerian akan memastikan setiap peruntukan yang diamanahkan diurus secara berhemat dan digunakan dengan berkesan demi manfaat rakyat,” ujarnya.
Mengulas pencapaian kementeriannya sejak 2022, Uggah berkata, kerjasama antara Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan agensi pelaksana berjaya membawa penambahbaikan yang ketara kepada jaringan infrastruktur negeri.
“Pembangunan lebuh raya utama, jambatan strategik, jalan luar bandar serta kemudahan penyeberangan sungai meningkatkan kesalinghubungan antara komuniti dan memperluas akses kepada peluang ekonomi.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, usaha bersama kerajaan dan agensi pelaksana telah membawa kemajuan yang bermakna dalam menghubungkan masyarakat di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh jaringan infrastruktur akan diteruskan selaras dengan aspirasi Sarawak menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.



