ARTIKEL

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

Sarawak sasar jadi pintu masuk utama ke Borneo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak berhasrat menjadi pintu masuk utama ke Borneo dengan memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan antara rantau itu dengan pasaran antarabangsa.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penganjuran Forum Ekonomi Borneo sebahagian daripada aspirasi yang lebih besar Sarawak untuk muncul sebagai hab yang menghubungkan rakan niaga, barangan, perkhidmatan dan idea dari dalam serta luar rantau Borneo.

Menurutnya, forum itu menghimpunkan lebih daripada 150 syarikat swasta dari negara anggota ASEAN, China dan India bagi meneroka peluang perniagaan baharu di seluruh Borneo.

“Usaha ini sebahagian daripada aspirasi Sarawak yang lebih besar untuk menjadi pintu masuk ke Borneo.

“Kita bukan hendak bersaing dengan jiran-jiran, sebaliknya menjadikan Sarawak sebagai pusat yang menghimpunkan rakan kerjasama, barangan, perkhidmatan dan idea demi manfaat bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, langkah seterusnya ialah memastikan peluang yang diwujudkan melalui forum berkenaan diterjemahkan menjadi manfaat ekonomi yang nyata, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Katanya, Kerajaan Sarawak akan terus menyokong pembangunan PKS melalui akses kepada pembiayaan, peningkatan keupayaan digital serta penyediaan infrastruktur bagi membolehkan mereka membina kerjasama strategik dan menyertai rantaian bekalan serantau.

Bagi merealisasikan aspirasi itu, katanya, Sarawak juga perlu memperkukuh hubungan dengan pasaran antarabangsa melalui jaringan perhubungan udara yang lebih luas.

“AirBorneo ialah penghubung kita dengan dunia. Sebelum penghujung tahun ini, saya akan melancarkan penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Jakarta, sekali gus menghubungkan Sarawak secara langsung dengan ibu negara Indonesia yang mempunyai penduduk melebihi 280 juta orang,” katanya.

Beliau berkata, hubungan udara itu dijangka terus memperkukuh sektor pelancongan kesihatan Sarawak yang mencatatkan hasil melebihi RM200 juta pada 2025.

Terdahulu, Abang Johari berkata, Sarawak terus menarik pelaburan berskala besar dalam sektor berteknologi tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing.

Pada Julai lalu, Western Digital memulakan pembinaan kemudahan pengeluaran substrat kaca bernilai RM1.8 bilion di Sama Jaya. Kemudahan itu akan menghasilkan bahan bagi menyokong teknologi penyimpanan data generasi akan datang.

Di Samalaju pula, OCI Tokuyama Semiconductor Materials sedang membangunkan kilang bernilai RM2 bilion untuk menghasilkan polisilikon gred semikonduktor, yang disifatkan sebagai kemudahan pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Selain itu, beliau berkata, pada 8 Oktober lalu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian rangka kerja antara SoftBank, Grab dan PETROS bagi meneroka potensi pembangunan platform infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan digital di Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, IKEA dijadual membuka cawangan pertamanya di Malaysia Timur di Kuching pada Disember ini.

Abang Johari berkata, beliau berbesar hati kerana lebih daripada 90 peratus kakitangan yang diambil bekerja oleh IKEA setakat ini ialah anak Sarawak.

BERITA LAIN

Sarawakku Sayang 2026 tarik 540,000 pengunjung

KUCHING: Program Sarawakku Sayang 2026 merekodkan lebih 540,000 pengunjung di lapan bahagian, selain menjana jualan RM2.4 juta kepada usahawan tempatan menerusi pelbagai aktiviti jualan makanan,

BERITA TERBARU

Sarawakku Sayang 2026 tarik 540,000 pengunjung

KUCHING: Program Sarawakku Sayang 2026 merekodkan lebih 540,000 pengunjung di lapan bahagian, selain menjana jualan RM2.4 juta kepada usahawan tempatan menerusi pelbagai aktiviti jualan makanan,