KUCHING: Majlis Kebajikan Sosial Sarawak (SWCS) merayu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya menyemak semula kelayakan kenderaan yang digunakan pertubuhan kebajikan dan amal di bawah program subsidi bahan api Diesel serta RON95 BUDI MADANI.
Presidennya, Datin Seri Dona Drury Wee, berkata rayuan itu khususnya membabitkan van bertingkap (Window Van) yang digunakan bagi tujuan kebajikan sebenar dalam menyampaikan bantuan kepada masyarakat rentan.
“Kami tidak meminta layanan istimewa atau subsidi secara menyeluruh, sebaliknya mengharapkan mekanisme yang adil dan praktikal dengan mengambil kira penggunaan sebenar kenderaan kebajikan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, tambahnya, pertubuhan SWCS juga membangkitkan peningkatan isu beban kewangan berikutan kenderaan yang digunakan untuk aktiviti kebajikan kini perlu membeli bahan api pada kadar tidak bersubsidi.
“Kenderaan tersebut juga bukan digunakan terutamanya untuk keuntungan komersial. Ia penting bagi menghantar bekalan makanan dan keperluan asas, membawa warga emas serta golongan rentan, menziarahi keluarga yang memerlukan dan menyediakan bantuan secara langsung kepada masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kebanyakan pertubuhan kebajikan sangat bergantung kepada sumbangan, kutipan dana dan sokongan awam tanpa sumber pendapatan tetap.
Menurut beliau, sebahagian daripadanya juga terdiri daripada gereja, kuil, tokong serta pertubuhan berasaskan agama atau komuniti yang menjalankan aktiviti kebajikan sebenar.
“Apabila kos bahan api meningkat, perbelanjaan tambahan itu secara langsung mengurangkan dana yang tersedia untuk makanan, ubat-ubatan, bekalan keperluan asas dan bantuan lain kepada mereka yang memerlukan.
“Sebahagian pertubuhan anggota juga melaporkan perbelanjaan tambahan bagi bahan api mencecah ribuan ringgit dan dalam sesetengah kes, puluhan ribu ringgit setiap bulan, bergantung kepada jumlah kenderaan yang dikendalikan serta skop aktiviti kebajikan mereka,” jelasnya.
Sehubungan itu, SWCS mencadangkan kerajaan mempertimbangkan peruntukan khas atau mekanisme subsidi bersesuaian bagi kenderaan kebajikan yang disahkan, termasuk van bertingkap, berdasarkan penggunaan dan tujuan sebenar kenderaan tersebut.
Beliau menyatakan, mekanisme itu boleh tertakluk kepada proses pengesahan sewajarnya, SWCS juga bersedia mengemukakan butiran pendaftaran serta senarai kenderaan, rekod penggunaan bahan api dan bukti aktiviti kebajikan untuk membantu pihak berkuasa membuat pengesahan.



