ARTIKEL

Sweet Qismina rangkul Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik AIFFA 2025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelakon Malaysia, Sweet Qismina, mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Malam Gala Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 yang berlangsung pada Sabtu.

Kemenangan itu membuktikan kebolehan bakat tempatan bersaing di peringkat ASEAN, sekali gus meletakkan nama Malaysia di pentas perfileman antarabangsa. Qismina membawa watak yang menonjol dalam filem Babah, menjadikan persembahannya cukup memukau juri festival.

Sweet Qismina ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka dapat tercalon kerana terdapat lebih 200 penyertaan dari seluruh ASEAN.

“Bersyukur sangat-sangat, ini salah satu pencapaian terbesar dalam hidup saya. Tidak mudah sebab saya juga menonton karya-karya yang tercalon.

“Kemenangan ini dianggap sebagai rezeki terpijak kerana saya banyak buat drama dan sesekali sahaja buat filem,” katanya.

Beliau turut berkata bahawa AIFFA merupakan pentas yang akan membuka lebih banyak kerjasama antara penggiat filem dari seluruh ASEAN, seterusnya menghasilkan karya yang lebih berimpak tinggi.

AIFFA 2025 menyaksikan penyertaan pelbagai karya hebat dari rantau ASEAN, seperti filem Tenement (Kemboja) yang dinobatkan sebagai Filem Terbaik, The Gospel of the Beast (Filipina) yang memenangi Anugerah Skrip Terbaik dan Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam) sebagai Anugerah Penyuntingan Terbaik.

Selain itu, Wu Kang-Ren dari Malaysia turut membawa pulang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Abang Adik, menunjukkan dominasi bakat Malaysia dalam kategori lakonan utama dan pembantu.

Dalam kategori pengarah, Pham Thien An dari Vietnam dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, manakala Yilunita Siregar dari Indonesia meraih Anugerah Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Home Sweet Loan.

AIFFA 2025 turut mempersembahkan Anugerah Juri Khas, termasuk kemenangan Malaysia melalui filem Tegkang, serta Brunei (Waiters), manakala Anugerah Semangat ASEAN dimenangi oleh Indonesia melalui filem Mbutik, yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Penghargaan tertinggi turut diberikan kepada Lav Diaz dari Filipina menerusi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, manakala Anugerah Inspirasi ASEAN disampaikan kepada pelakon Hong Kong, Simon Yam, bagi menghargai sumbangan mereka dalam dunia perfileman Asia.

Majlis kemuncak gala malam itu dimeriahkan dengan persembahan Mimifly yang menyampaikan lagu Serumpun dengan lirik khas bersempena AIFFA, menjadikan suasana lebih meriah dan menghangatkan malam anugerah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU