KUCHING: Perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli,28, muncul sebagai penyumbang pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Para Asia Ke-4 Hangzhou di China semalam (Isnin).
Atlet kebanggaan Sarawak yang berasal dari Asajaya terbabit berjaya meraih emas dalam acara 100 meter (m) kuak dada kategori SB4 malah turut mencipta rekod baharu temasya dengan masa satu minit 46.78 saat (s).
Lebih manis, Syaiful berjaya memadam catatan lama 1:50.91s milik perenang para Vietnam, Nguyen Tranh Trung pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Sementara wakil tuan rumah, Yin Wenhong meraih pingat perak dengan 1:53.29s manakala gangsa dimenangi seorang lagi atlet Malaysia Zy Lee Kher dengan masa 2:11.80s.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Syaiful yang merupakan anak ketiga daripada empat adik beradik terbabit.
“Tahniah dan syabas atas kemenangan bergaya kepada anak Sarawak, Muhammad Nur Syaiful bin Zulkafli dalam acara renang 100 meter (m) kuak dada kategori SB4 dan mencatat rekod baru.
“Ini adalah kemenangan pingat emas pertama bagi Malaysia dalam Temasya Sukan Para Asia Ke-4, Hangzhou, China,” katanya dalam kenyataan hari ini

