KUCHING: Syarahan Keris Mas pada tahun ini menampilkan tokoh istimewa, iaitu anakanda kepada Keris Mas, Dr Muhammad Amir Kamaluddin, bagi mengupas biografi Sasterawan Negara Keris Mas: Melepasi Gerhana.
Dalam sesi bicara buku itu, beliau memberikan gambaran lebih mendalam mengenai kehidupan, pemikiran dan perjalanan sastera Keris Mas sebagai salah seorang tokoh penting dalam kesusasteraan negara.
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, berkata Syarahan Keris Mas yang diadakan buat kali kelima tahun ini merupakan satu inisiatif untuk memperbanyakkan wacana intelektual berkaitan bidang kesusasteraan.

“Antara objektif yang cuba dicapai termasuk mendapatkan pandangan tokoh luar bidang sastera terhadap kesusasteraan Malaysia.
“Selain itu, syarahan ini juga menunjukkan bahawa kesusasteraan perlu menjadi milik bersama bagi menyeimbangkan ilmu sains sosial, sains, teknologi dan perkembangan pesat dunia pendigitalan, termasuk media sosial serta kecerdasan buatan (AI).
“Saya percaya melalui usaha sebegini, sastera dapat menarik minat masyarakat, khususnya generasi muda dan para pelajar sekolah serta siswa institusi pengajian tinggi dalam pelbagai aliran pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan program Syarahan Keris Mas sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-70 DBP di Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, program syarahan kali ini bertepatan dengan tema Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70, iaitu Restu Jiwa Pahlawan, yang menampilkan tokoh luar bidang sastera serta merentasi bidang kesusasteraan dan persuratan kebangsaan dengan bidang sains sosial, iaitu perkaitan alam sastera dengan alam sekitar.
Semangat syarahan ini bertepatan dengan salah satu nilai dalam konsep Malaysia MADANI, iaitu Ihsan, yang merangkumi sifat peduli, belas kasihan dan empati bagi membina masyarakat yang penyayang, khususnya dalam hubungan dengan alam sekitar dan alam sastera.
Pada tahun ini, program menampilkan seorang tokoh yang tidak asing dalam bidang alam sekitar di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa, iaitu Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Emeritus Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang.
“Beliau merupakan seorang tokoh ilmuwan dalam pelbagai bidang, termasuk jurutera alam sekitar profesional, memiliki sebanyak 58 buah buku serta lebih 300 kertas saintifik dalam bidang sains dan kejuruteraan alam sekitar.
“Saya difahamkan bahawa menerusi Syarahan Keris Mas Kali Ke-5 yang berjudul Sastera Alam dalam Alam Sastera ini, pemidato akan memerihalkan latar belakang perkembangan sastera alam dan puisi alam yang berbeza dengan sastera dan puisi yang mengandungi unsur alam.
“Lebih menarik, beliau mengetengahkan tema dan peranan sastera alam serta puisi alam dalam kerangka besar untuk melestarikan alam sekitar, menangani krisis perubahan iklim dan pemanasan global,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dillah Tuah, dijemput sebagai pemudah cara bagi program berkenaan.
Sementara itu, syarahan turut dihadiri lebih 200 orang yang terdiri daripada sarjana dan tokoh, penyelidik, pelajar, jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan.


