SHAH ALAM: Industri aeroangkasa, penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pembuatan di Malaysia kini menggaji lebih 35,000 pekerja berkemahiran tinggi, melebihi sasaran awal Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
Menurut Bernama, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata industri tersebut turut menjana perolehan sebanyak RM32.5 bilion sekali gus meletakkan negara di landasan tepat untuk mencapai sasaran RM55 bilion menjelang 2030.
Beliau berkata rantau Asia Pasifik kini mencatat pertumbuhan tertinggi dalam industri aeroangkasa dan perkembangan itu memberi peluang besar kepada Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran global.
Menurut beliau, pengiktirafan syarikat antarabangsa seperti Airbus, Boeing dan Safran membuktikan keyakinan dunia terhadap keupayaan tenaga kerja serta ekosistem aeroangkasa negara.
Dalam perkembangan sama, pelancaran Base Maintenance Malaysia sebagai sebahagian rangkaian SIA Engineering Company dijangka meningkatkan kapasiti operasi MRO serantau menerusi kemudahan dua hangar yang mampu mengendalikan enam pemeriksaan pesawat secara serentak.

