ARTIKEL

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDN Sarawak, Iezzah Iburdanisha Ibrahim.

Syarikat Didenda RM126,000 Kes Penyelewengan Diesel di Sibu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Serbuan sindiket penyelewengan diesel di sebuah stor penyimpanan di daerah ini pada Ogos 2024 membawa kepada pendakwaan sebuah syarikat pemborong yang akhirnya didenda RM126,000 selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, pendakwaan itu susulan operasi bersepadu KPDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah stor penyimpanan di daerah Sibu pada 25 Ogos 2024.

“Syarikat berkenaan didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Musyiri Peet, di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDN Sarawak, Iezzah Iburdanisha Ibrahim,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dominic, berdasarkan pertuduhan yang direkodkan, syarikat terbabit berdepan sembilan pertuduhan kerana melakukan kesalahan di sebuah premis di Jeti Tanjung Engkilo, Sibu, pada 25 Ogos 2024.

Katanya, syarikat itu didakwa kerana melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) dan Seksyen 22(2) akta yang sama.

Beliau berkata, selepas semua pertuduhan dibacakan, wakil syarikat selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah dengan sokongan fakta kes.

“Susulan pengakuan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM126,000 selepas mengambil kira faktor kepentingan awam.

“Syarikat terbabit kemudian menjelaskan denda berkenaan sebelum dilepaskan,” jelasnya.

Matthew berkata, keputusan mahkamah tersebut memberi isyarat jelas KPDN Sarawak kekal komited menggerakkan inisiatif ‘KITA GEMPUR’ dalam usaha membanteras manipulasi aktiviti perniagaan serta ketirisan membabitkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan barang bersubsidi.

“Sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU