Syarikat korporat beri 100 PPE untuk HUS

KUCHING: Syarikat DAL Keluarga Reality Sdn Bhd menyumbang sebanyak 100 peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bagi Hospital Umum Sarawak (HUS).

Pengarah Urusan Syarikat DAL Keluarga Reality Sdn Bhd Dzulkarnaen Ahmad berkata, sumbangan tersebut adalah aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan oleh syarikat untuk membantu petugas barisan hadapan sepanjang krisis ini.

“Ia merupakan tindak balas terhadap hasrat kerajaan yang memerlukan lebih banyak PPE untuk petugas barisan hadapan.

“Diharapkan ia dapat meringankan beban petugas yang sentiasa bertungkus-lumus dalam menghentikan wabak Covid-19 yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, semoga usaha ini dapat mendorong syarikat lain memenuhi keperluan petugas barisan hadapan.

Sementara itu, orang ramai diminta sentiasa mematuhi peraturan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Diharap semua kita sentiasa menjaga kebersihan diri dan keluarga berdasarkan panduan yang ditetapkan oleh jabatan kesihatan negeri masing-masing,” ujarnya.

Suara Sarawak