Tabika Kemas Kampung Buda berwajah baharu

BETONG: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Bahagian Betong mengakui Adun Saribas Mohammad Razi Sitam mempunyai komitmen tinggi dalam menampung kekurangan yang dialami khususnya melibatkan kemudahan tabika.

Pegawai Kemas Bahagian Betong Md Asdi Hamdi memberitahu, beliau seorang wakil rakyat yang prihatin akan isu pendidikan anak-anak.

“Seperti yang diketahui, kawasan luar bandar termasuk Saribas juga berhadapan kekurangan terutama aspek infrastruktur yang sedikit ketinggalan berbanding di bandar iaitu tabika lama, uzur dan tidak selesa.

“Bagaimanapun, penduduk di Saribas beruntung kerana mempunyai wakil rakyat yang sangat prihatin terhadap isu pendidikan awal kanak-kanak.

“Jadi, dengan adanya bangunan baharu bagi operasi Tabika Kemas Kampung Buda ini diharap dapat memotivasikan kanak-kanak agar belajar bersungguh-sungguh dengan kendaan yang selesa,” katanya ditanya selepas menerima bangunan baharu tersebut daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong di Kampung Buda pada Selsa.

Setakat ini jelasnya, terdapat beberapa Tabika Kemas di kampung lain dalam Dun Saribas turut mendapat perhatian beliau.

“Saya difahamkan pada 2017, Tabika Kemas Kampung Tuie dibaik pulih menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) beliau.

“Selepas itu, peruntukan RTP beliau juga digunakan untuk membaik pulih Tabika Kemas Kampung Medang, Tanjung Assam dan Belingan.

“Antara lain tahun lepas Tabika Kemas Kampung Dit dibaik pulih menerusi Pakej Ransangan Ekonomi Prihatian. “Maknanya, semua tabika yang berubah landskap kini atas usaha beliau dan pihak Kemas berterima kasih kerana ia berjaya menyediakan tempat belajar yang lebih selesa kepada anak-anak di Saribas,” ujarnya.

Asdi mengharapkan kerjasama erat antara wakil rakyat dan Kemas dapat diteruskan bagi memastikan usaha memantapkan pendidikan awal kanak-kanak di sini berjalan lancar.

Tabika Kemas Kampung Buda mempunyai 24 kanak-kanak yang dibimbing oleh Pendidik Masyarakat Dyg Rosnah Abg Sulaiman. Bangunan itu kini menunggu proses penyambungan bekalan elektrik dan air.

BANGUNAN baharu Tabika Kemas Kampung Buda yang dibina oleh Kerajaan Sarawak