ARTIKEL

Abang Johari bersama-sama tetamu kehormat lain sempena pelancaran CCIA bagi Sarawak dan Sabah di Kuching, hari ini. - Foto Ramidi Subari

Tadbir urus iklim perlu iktiraf peranan Sarawak, Sabah – Abang Johari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tadbir urus iklim yang berkesan di Malaysia mesti mengiktiraf peranan dan tanggungjawab Sarawak dan Sabah, sambil memastikan kesepaduan nasional, tegas Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Justeru, katanya Sarawak kekal komited untuk berinteraksi secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan dan Sabah bagi memastikan penyelarasan dasar, koordinasi pelaburan dan perkongsian pembelajaran supaya tindakan iklim memberi manfaat kepada Malaysia secara keseluruhan.

Katanya ia memandangkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, Sarawak mempunyai kuasa yang signifikan ke atas tanah, perhutanan, sumber marin dan sumber semula jadi.

“Ini bukan soal melakar sempadan. Ini soal membina jambatan agar cita-cita persekutuan dan pelaksanaan negeri saling mengukuhkan.

“Negeri yang kukuh memperkukuh Persekutuan dan tadbir urus yang terselaras memperkukuh daya tahan nasional,” katanya ketika menyempurnakan pelancaran Laporan Penilaian Institusi Perubahan Iklim Peringkat Subnasional (CCIA) bagi Sarawak dan Sabah di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Sehubungan itu, Abang Johari menegaskan penyelesaian iklim yang berkekalan harus dibina atas institusi yang kukuh kerana tindakan iklim hanya berkesan apabila institusi dilengkapi untuk menyelaraskan sektor, mengkoordinasi merentas peringkat kerajaan dan memadankan perancangan dengan pembiayaan.

“Institusi mesti beroperasi dengan mandat yang jelas serta kuasa undang-undang yang tegas. Ia mesti memantau kemajuan secara telus dan mesti berupaya mengurus risiko fiskal dan alam sekitar dalam landskap iklim yang semakin tidak menentu,” katanya.

Menurutnya, salah satu contoh kejelasan institusi ialah penetapan harga karbon, dengan kerangka levi karbon Sarawak tidak dibangunkan secara berasingan sebaliknya direka dengan teliti, berpandukan amalan terbaik antarabangsa dan pandangan strategik daripada Bank Dunia.

Katanya dengan berbuat demikian, Sarawak menunjukkan bahawa autonomi peringkat negeri apabila berteraskan kejelasan institusi, kerjasama dan parameter undang-undang mampu memperkukuh tindakan iklim secara kolektif.

“Objektif kami bukanlah perpecahan. Objektif kami ialah kesepaduan dengan inovasi di peringkat negeri memperkukuh keseluruhan seni bina iklim Malaysia,” katanya.

Abang Johari menambah satu lagi contoh praktikal ialah hutan Sabah dan Sarawak bukan sahaja khazanah biodiversiti tetapi adalah aset iklim bertaraf global, dan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa negeri.

Katanya itulah sebabnya mengapa susunan institusi amat penting, dengan keputusan berkaitan guna tanah, pemuliharaan, penguatkuasaan dan hasil mempunyai implikasi fiskal dan alam sekitar jangka panjang.

Namun, beliau berkata negeri secara tradisinya bergantung kepada hasil sumber semula jadi untuk membiayai pembangunan, dan cabaran di hadapan ialah bagaimana menyeimbangkan kelestarian fiskal dengan pemeliharaan alam sekitar.

“Oleh itu, reformasi institusi mesti menangani bagaimana tanggungjawab, insentif dan pembiayaan diselaraskan.

“Pembiayaan iklim, pasaran karbon, pemindahan fiskal ekologi dan model hasil mampan mesti menyokong negeri yang melindungi alam semula jadi. Jika tidak, pemuliharaan menjadi beban kewangan, bukan peluang.

“Sarawak percaya bahawa perlindungan alam sekitar mesti menjana nilai, bukan sekadar kos dan nilai ini mesti disokong oleh institusi yang jelas, berwibawa dan terselaras dengan baik,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU