BINTULU: Calon yang akan mempertahankan kerusi DUN Jepak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang harus anak jati dari Jepak sendiri.
Demikian tegas Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Jepak menolak calon luar ekoran kesinambungan pembangunan yang sedang giat dilaksanakan di kawasan DUN berkenaan.
Menurut Ketua Ranting PBB Kampung Sebuan Besar- Kecil Jepak, Hai’dz Waslie, pendirian ini ditegaskan ketika perjumpaan bersama Ahli Majlis Tertinggi PBB sebelum Konvensyen Khas PBB Zon Utara di Bintulu, pada Sabtu lalu.
“Kami tidak mahu calon dari luar cawangan Jepak atau calon ‘Payung Terjun’ diketengahkan pada PRK DUN Jepak. Calon mestilah dipilih dari ahli PBB Cawangan N67 Jepak.
“Calon ini akan lebih mengetahui tentang selok belok parti dan masalah di Jepak yang banyak masih belum diselesaikan sejak lebih dari 20 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Tegas Hai’dz lagi, suara akar umbi amat penting didengari dan diambil kira termasuk dalam menentukan calon yang akan mewakili Jepak pada masa akan datang terutama ketika berdepan PRK yang akan diadakan 4 November.
Tindakan yang diambil ini katanya bukan bermaksud menentang keputusan kepimpinan tertinggi parti, namun ia sebagai tanda sayang akan parti PBB.
PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip, 72, akibat komplikasi buah pinggang, hati, jantung dan kencing manis pada 15 September lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12, Talib mempertahankan kerusi DUN Jepak dengan majoriti 4,243 undi dalam pertandingan empat penjuru selepas meraih 6,277 undi mengenepikan tiga calon lain iaitu Raba’ah Tudin dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan 2,034 undi, Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) meraih 587 undi dan Tuan Kazan (Bebas) mendapat 141 undi.
Pada 2009, Allahyarham Talib dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.
Untuk rekod penggal DUN Sarawak ke-19 akan tamat pada 14 Februari 2027 dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh 21 Oktober ini sebagai hari penamaan manakala 4 November depan sebagai hari pengundian.
Pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi adalah di Dewan Suarah Bintulu.

