ARTIKEL

BORHANUDIN Samsudin bersama Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohamad Radzuan Mohamed (kanan) pada Pengumuman Prestasi Industri Takaful MTA 2025 di Kuala Lumpur Golf & Country Club. - Bernama

Takaful pacu sumbangan kasar RM16.38 bilion

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Industri takaful Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025 dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.73 peratus sekali gus membawa jumlah sumbangan kasar kepada RM16.38 bilion, menurut Persatuan Takaful Malaysia. 

Pengerusi interimnya Borhanudin Samsudin berkata, perkara ini mencerminkan trajektori pemulihan yang semakin stabil selepas pandemik serta asas pertumbuhan yang berkembang dengan ketara.

“Secara keseluruhannya, pengendali takaful membayar manfaat sebanyak RM10.61 bilion pada 2025. 

“Daripada jumlah tersebut, 74.6 peratus atau RM7.91 bilion disalurkan oleh Takaful Keluarga manakala Takaful Am melunaskan sebanyak RM2.70 bilion,” katanya ketika berucap mengenai prestasi industri takaful bagi 2025 baru-baru ini. 

Borhanudin berkata penerimaan terhadap produk takaful mengatasi kadar pertumbuhan penduduk dengan sebanyak 861,956 sijil Takaful Keluarga baharu dikeluarkan sepanjang 2025. 

Ini membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 6.74 juta sijil yang masih berkuat kuasa pada penghujung tahun tersebut selepas mengambil kira sijil yang matang secara semula jadi, tempoh tamat, diganti serta ditamatkan dalam tempoh yang sama. 

“Ini amat menggalakkan memandangkan terdapat peningkatan dalam bilangan mutlak sijil yang berkuat kuasa berbanding 6.69 juta pada 2024, sekali gus menandakan usaha industri mendorong lebih ramai peserta untuk mengekalkan sumbangan mereka,” katanya. 

Walaupun ia merupakan petanda positif bahawa lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai akses kepada perlindungan di bawah takaful, penyederhanaan daripada 993,393 sijil Takaful Keluarga baharu yang ditambah pada 2024 mencerminkan landskap yang lebih perlahan bagi pengambilalihan perniagaan baharu. 

Dari segi sumbangan, beliau berkata sumbangan perniagaan baharu Takaful Keluarga mencatatkan prestasi yang mendatar tetapi stabil pada RM9.74 bilion pada 2025, meningkat sebanyak RM10.0 juta berbanding 2024.

Borhanudin berkata sumbangan perniagaan yang berkuat kuasa meningkat kepada RM10.15 bilion daripada RM9.62 bilion yang sebahagian besarnya dikekalkan oleh produk endowmen dalam segmen perniagaan keluarga biasa individu. 

Jumlah penyertaan perlindungan perniagaan yang berkuat kuasa iaitu nilai perlindungan turut berkembang dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.47 peratus kepada RM1.62 trilion daripada RM1.55 trilion sekali gus menandakan penghargaan yang lebih tinggi terhadap takaful dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Secara keseluruhan, segmen Takaful Keluarga mengekalkan kedudukannya yang kukuh dalam landskap perlindungan yang lebih luas dengan penguasaan pasaran sumbangan perniagaan baharu meningkat sedikit kepada 39.44 peratus daripada 39.16 peratus pada 2024. 

Kadar penembusan takaful kekal stabil pada 19.63 peratus di tengah-tengah pertumbuhan populasi Malaysia yang meningkat kepada 34.33 juta (2024: 34.10 juta). 

“Kadar penembusan meningkat daripada 19.57 peratus, mencerminkan usaha berterusan industri untuk memperluas perlindungan dan mengekalkan capaian kepada asas populasi yang lebih besar,” kata beliau. 

Mengenai Takaful Am, Borhanudin berkata sumbangan bertulis kasarnya meningkat 12.38 peratus tahun ke tahun kepada RM6.64 bilion pada 2025 daripada RM5.91 bilion, sebahagian besarnya dipacu oleh takaful motor. 

Ia kekal sebagai penyumbang terbesar merangkumi hampir 69.0 peratus (68.89 peratus) daripada sumbangan bertulis kasar, mencatatkan perkembangan sebanyak 12.57 peratus sekali gus mencerminkan permintaan berterusan untuk perlindungan kenderaan bermotor. Perniagaan takaful bukan motor turut berkembang pada 2025, meningkat 11.95 peratus berbanding 2.19 peratus pada tahun sebelumnya. – Bernama

BERITA LAIN

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,

BERITA TERBARU

Perintah Sarawak melanja sekula anak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg datai bejadi Pengawa Nyua Pemer i Perintah Sarawak ngagai waris staf Servis L utur

XPDC Bario 375km meri pengelantang

KUCHING: Pengeransing Sapit Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ngabas jalai menua ulu nengah XPDC 1.0 Bario ba taun 2025 dipuji komuniti Kenyah enggau