ARTIKEL

Takut dimarahi isteri, suami buat laporan polis palsu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang suami sanggup membuat laporan polis palsu menyatakan dirinya diragut, gara-gara takut isteri memarahinya kerana duit gaji habis digunakan untuk berjudi.

Namun demikian, tindakan tersebut memakan diri apabila dia dijatuhi hukuman denda RM1,800 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Che Mohd, 24, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Mengikut pertuduhan, dia telah memberi keterangan bertulis palsu diberikan kepada seorang pegawai polis berpangkat inspektor, yang boleh menyebabkan penjawat awam terbabit menggunakan kuasa sah mencederakan orang lain berdasarkan maklumat palsu yang diberikan.

Dia melakukan kesalahan terbabit di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, sekitar jam 2.30 petang, 3 Mei lalu.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, satu keterangan diambil daripada tertuduh oleh pengadu (pegawai polis) mengenai satu kejadian ragut.

Setelah disiasat, mendapati keterangan tertuduh adalah rekaan semata-mata dan tiada kejadian ragut berlaku.

Siasatan lanjut, mendedahkan bahawa tertuduh telah membuat laporan polis yang mendakwa dirinya diragut oleh seorang lelaki yang tidak dikenali hingga menyebabkan wang gajinya hilang, adalah rekaan semata-mata.

Difahamkan, dia membuat laporan polis palsu kerana takut isterinya memarahinya selepas menghabiskan wang gaji untuk berjudi.

Semasa prosiding hari ini, tertuduh hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU