KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bercadang menambah jumlah Taman Lalu Lintas di seluruh negeri ini sebagai usaha memperluas pendidikan keselamatan jalan raya, khususnya dalam kalangan murid sekolah.
Menterinya, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, setakat ini Sarawak hanya mempunyai enam Taman Lalu Lintas yang dibina khas untuk mendidik kanak-kanak dan murid mengenai undang-undang jalan raya.

Katanya, MOTS turut menyediakan peruntukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk majlis bandaraya dan majlis perbandaran bagi menambah baik kemudahan di enam taman sedia ada itu.
“Ekoran itu, kementerian saya bercadang menambah bilangan Taman Lalu Lintas, sekali gus memastikan setiap bahagian di seluruh Sarawak memiliki satu taman lalu lintas di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelancaran Pertandingan Trafik Sarawak (STG) Kuching 2025 di Taman Lalu Lintas Kenyalang, hari ini.
Tambah beliau, usaha itu juga akan menggalakkan sekolah-sekolah di setiap bahagian untuk menyertai pertandingan tersebut dalam penganjuran masa akan datang.
Menurutnya, langkah itu akan membolehkan sekolah-sekolah bertanding di peringkat bahagian masing-masing dan menyemai budaya selamat sejak usia muda.

“Maklum balas yang saya terima mengenai program ini sangat memberangsangkan. Tahun lalu kita bermula di Miri, diikuti Sarikei dan kini di Kuching.
“Sambutan pelajar amat luar biasa kerana ia bukan sekadar permainan, tetapi simulasi keadaan sebenar di jalan raya — lengkap dengan kehadiran polis trafik dan tindakan saman bagi setiap kesalahan,” ujarnya.
Beliau berkata, kemalangan jalan raya merupakan isu serius yang perlu diberi perhatian kerana lebih 80 peratus berpunca daripada faktor manusia seperti kecuaian, kegagalan mematuhi peraturan dan sikap sambil lewa.

“Walaupun kita tidak menafikan kerosakan teknikal seperti brek atau tayar kenderaan turut menyumbang kepada kemalangan, namun sikap pengguna yang tidak memeriksa kenderaan secara berkala adalah antara punca utama.
“Saya pernah tanya pemandu yang terlibat kemalangan, dia jawab ‘my tyre no flower, brake no eat’. Perkara seperti ini perlu diberi perhatian. Oleh itu, pendidikan keselamatan mesti bermula sejak di bangku sekolah untuk membentuk kesedaran jangka panjang — termasuklah melalui penganjuran program seperti ini,” jelasnya.
Untuk rekod, enam Taman Lalu Lintas sedia ada di Sarawak terletak di Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri, Sarikei dan Limbang.
Sementara itu, pertandingan ini yang dahulunya dikenali sebagai Shell Traffic Games diperkenalkan pada tahun 1963 hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak dan Shell Malaysia. Kali terakhir ia dianjurkan ialah pada 2015 sebelum dihidupkan semula pada tahun 2024 dengan penjenamaan baharu sebagai Pertandingan Trafik Sarawak.
Edisi Kuching kali ini menyaksikan 10 penyertaan — lima dari sekolah rendah dan lima dari sekolah menengah, merangkumi SJK Chung Hua No.3, SJKC Sungai Apong, SJK Chung Hua No.5, SK St. Teresa, SK Kenyalang, SMK DPHA Gapor, SMK Tabuan Jaya, SMK Pending, SMK Green Road dan SMK Seri Setia.



