ARTIKEL

Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (LAKIS) Dr Abang Ismail Abang Julhi

Tambah bilangan guru pelatih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Selain pertambahan kuota hingga 10,000 pengambilan pelajar setiap tahun dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG), sokongan universiti tempatan juga signifikan dalam menyelesaikan isu kekurangan guru di negeri ini.

Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (LAKIS) Dr Abang Ismail Abang Julhi berkata, pandangan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menambah bilangan guru yang dilatih di IPG dan universiti tempatan amat disokong sepenuhnya.

Menurutnya, ia komitmen dan usaha untuk mengatasi isu kekurangan guru terutamanya di Sarawak. “Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Sarawak ke arah pendidikan berkualiti tinggi sekali gus melahirkan golongan cendekiawan dalam kalangan buat anak Sarawak pada masa hadapan.

“Justeru, dalam menyahut cabaran tersebut IPG seharusnya menambah lagi bilangan ambilan guru setiap tahun dengan jumlah antara 8,000 sehingga 10,000 orang setahun,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam. Setakat ini jelasnya, IPG hanya mengambil sekitar 4,000 ke 6,000 penuntut pendidikan setahun bagi program lepasan SPM (PISMP) dan lepasan IPT (PDPP).

“Ia kurang mencukupi untuk menampung keperluan guru dengan jumlah sekolah yang ada di Malaysia. “Sehubungan itu, institusi pengajian tinggi lain seperti Universiti Teknologi Swinburne (Swinburne), Universiti Curtin, dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Sarawak harus menyahut seruan Abang Johari.

“Ia penting bagi memastikan Sarawak tidak lagi mengalami kekurangan guru… kasihan dengan anak-anak kita di sekolah menunggu kehadiran guru yang sepatutnya mereka mendapat Ilmu daripada guru yang terlatih,” ujarnya. Tambah Abang Ismail, beliau sebelum ini pernah berbincang dengan Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS) agar menawarkan program pendidikan dengan kebitaran yang ada pada institusi tersebut.

“Begitu juga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). UNIMAS sekiranya kewujudan awal dahulu mereka memperkenalkan program pendidikan, saya yakin pertambahan guru di Sarawak akan meningkat.

“Seterusnya membantu mengeluarkan golongan guru dengan jumlah yang ramai. “Saya secara peribadi pernah melontarkan idea tersebut agar UNIMAS mewujudkan Fakulti Pendidikan pada 1998, namun baru sekarang wujudnya fakulti tersebut.

“Walaupun agak terlewat, kita bersyukur, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi sudah mula wujud di UNIMAS,” tambahnya.

Terdahulu Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak berunding agar maktab dan universiti di Sarawak menyediakan pengajaran dari sudut perguruan. “Ia sebagai usaha untuk menambah guru dan ini kita beri perhatian kepada anak Sarawak sendiri yang boleh dilatih menjadi guru dan mengajar di sekolah kita (Sarawak),” kata Abang Johari. 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU