KUCHING: Gaji semua penjawat awam yang berkhidmat di Sarawak dicadangkan ditambah sebanyak 10 peratus, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen.
Menurutnya, ia merupakan antara langkah permulaan untuk kerajaan berkongsi kekayaan negeri ini dengan rakyatnya.
“Saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri menambah lagi 10 peratus kepada gaji semua penjawat awam, sama ada persekutuan mahupun negeri, yang berkhidmat di Sarawak.
“Ini termasuk pertambahan gaji bagi semua guru, jururawat dan doktor yang bertugas di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau turut optimis bahawa Kerajaan Sarawak mampu menanggung perbelanjaan tambahan terrsebut yang melibatkan jumlah lebih kurang RM1 bilion.
“Ini kerana, berdasarkan Belanjawan Persekutuan 2025, jumlah gaji yang dibayar kepada penjawat awam di seluruh negara adalah sekitar RM105 bilion.
“Dalam pada itu, jumlah anggaran gaji penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak adalah sekitar RM10 bilion.
“Jadi, penambahan 10 peratus kepada gaji mereka ini akan melibatkan kos lebih kurang RM1 bilion,” jelasnya.
Sementara itu, beliau menyambut baik beberapa inisiatif yang diumumkan oleh Kerajaan Sarawak untuk memberi dan menambah bantuan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Tetapi saya rasa lebih banyak perlu dilakukan, terutamanya memandangkan kita mempunyai banyak sumber, di samping kerajaan mempunyai kemampuan untuk menambah 10 peratus kepada gaji mereka.
“Justeru, saya berharap agar cadangan ini dipertimbangkan untuk kita berkongsi kekayaan dengan semua rakyat Sarawak,” tambahnya.


