ARTIKEL

Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Kuching yang kini hampir mencapai kapasiti penuh | Foto: Ramidi Subari

Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah diperluas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Kuching dahulunya dikenali sebagai Tanah Perkuburan Islam Samariang, kini hampir mencapai kapasiti penuh dan dijangka mampu menampung pengebumian jenazah untuk tempoh dua tahun lagi.

Justeru Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Datuk Haji Abang Abdul Wahap bin Haji Abang Julai berkata, kawasan tanah perkuburan itu bakal diperluaskan bagi memastikan keperluan pengebumian masyarakat Islam di bandar ini terus terjamin untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun lagi.

Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Kuching yang kini hampir mencapai kapasiti penuh | Foto: Ramidi Subari

“Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Kuching kini hanya mampu menampung permintaan untuk tempoh dua tahun lagi.

Namun, kita sedang melaksanakan usaha untuk memperbesarkannya.

“Ketika ini Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebidang tanah bersebelahan Telekom Malaysia seperti yang diumumkan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini.

“Peruntukan sebidang tanah ini dapat menampung keperluan pengebumian jenazah bagi tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun lagi.

Kita juga akan mengurus sistem perparitan dan jalan raya yang lebih teratur bagi memastikan kawasan perkuburan sentiasa dalam keadaan baik, terurus, dan selamat,” katanya.

Menjelas lanjut katanya, secara purata, lebih 1,000 jenazah disemadikan di tanah perkuburan tersebut setiap tahun.

“Setiap hari, sekurang-kurangnya tiga liang lahad digali dan pengebumian hanya di liang yang disediakan sahaja.

Ada ketikanya, sehingga 10 jenazah dikebumikan dalam satu hari, terutama pada bulan Ramadan apabila kadar kematian meningkat,” jelasnya.

Sejak tanah perkuburan ini mula dibuka pada tahun 1982, kata Abang Abdul Wahap, dianggarkan kawasan tersebut telah menempatkan lebih daripada 20,000 pusara.

“Setakat ini, kira-kira 80 hingga 90 jenazah yang dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan setiap bulan.

“Kebanyakan jenazah yang disemadikan adalah dari sekitar Kuching, namun terdapat juga jenazah dari kawasan lain yang memilih untuk dikebumikan di sini.

“Selain itu, terdapat juga individu dari luar negara yang dikebumikan di sini.

Namun, waris atau wakil perlu mendapatkan surat kelulusan daripada kedutaan mereka sebelum jenazah dikebumikan,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan supaya masyarakat berhubung terus dengan Bahagian Tanah Perkuburan, Jabatan Pengurusan Masjid-masjid, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak yang beroperasi di Kompleks Raudhatul Sakinah Kuching berkenaan maklumat pengebumian seperti pengurusan kematian, caj pengurusan dan yang berkaitan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU