ARTIKEL

Bot nelayan yang ditahan dalam operasi APMM di kawasan persisir pantai Tanjung Manis, pada Jumaat.

Tangkap ikan guna peralatan tidak dibenarkan, bot nelayan ditahan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TANJUNG MANIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis menahan sebuah bot nelayan tempatan ketika melakukan aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan di kawasan pesisir pantai di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, tangkapan pada jam 11.34 pagi itu dibuat hasil aduan komuniti maritim sekitar kawasan terbabit yang mendakwa terdapat bot nelayan menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat seorang tekong dan seorang awak-awak warga tempatan berumur dalam lingkungan 42 hingga 43 tahun berada di atas kapal terbabit.

“Peralatan menangkap ikan, pukat tunda, dan bot telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 seterusnya dibawa ke Jeti Terminal Tanjung Manis untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia mengingatkan semua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan yang berkaitan.

“Laporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis di talian 010-5063293 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU