KANOWIT: Kemudahan tangki air bernilai RM500,000 menerusi Projek Kampung Angkat MADANI di Batu Luking bakal memanfaatkan tiga rumah panjang serta sebuah sekolah di kawasan berkenaan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata projek tersebut dilaksanakan selepas kerajaan meneliti keperluan utama penduduk di kawasan berkenaan yang ketika ini masih belum mempunyai kemudahan paip air.

“Di sini kita melihat keperluannya ialah tangki air. Justeru, kita sudah bersetuju untuk membina tangki air bagi menyediakan kemudahan kepada tiga rumah panjang dan sebuah sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Kampung Angkat MADANI Batu Luking, di sini, hari ini.
Menurutnya, kapasiti tangki air berkenaan masih belum dimuktamadkan memandangkan reka bentuk serta Senarai Kuantiti (BQ) projek masih dalam proses penyediaan.
Bagaimanapun, beliau yakin peruntukan tersebut mencukupi bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan.
“Memang cukup untuk kawasan ini. Sekiranya kapasiti tangki air berkenaan cukup besar, bekalan air bukan sahaja dapat disalurkan ke rumah panjang, malah turut memberi manfaat kepada rumah berhampiran,” jelasnya.
Sebagai perbandingan, beliau menjelaskan Projek Kampung Angkat MADANI di Sungai Mapai, Nanga Balingiau tahun lalu menerima peruntukan RM1 juta kerana melibatkan skop projek yang lebih besar termasuk pembinaan jalan rumah panjang, jalan ke sekolah serta kemudahan keselamatan.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas kepada penduduk luar bandar sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.


