ARTIKEL

Pandi menyampaikan hadiah kepada Tania Isabella McCabe yang menjuarai edisi sulung Pertandingan Tengelong Vaie 2026 sempena Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026, malam tadi.

Tania Isabella McCabe Juara Sulung Pertandingan Tengelong Vaie 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Tania Isabella McCabe mencatat sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara edisi sulung Pertandingan Tengelong Vaie 2026 yang berlangsung di Pentas Qubhow Vaie sempena Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026, malam tadi.

Beliau berjaya mengetepikan tujuh finalis lain menerusi persembahan yang menyerlahkan keanggunan, keyakinan diri serta penghayatan mendalam terhadap warisan budaya Vaie yang menjadi teras pertandingan berkenaan.

Pandi bergambar bersama jawatankuasa penganjur, pemenang dan peserta Pertandingan Tengelong Vaie 2026.

Tempat kedua dimenangi oleh Ul’fa Haneyya Ismawi, manakala Hamidah Sepawi menduduki tempat ketiga.

Pertandingan yang julung kali diperkenalkan dalam sejarah penganjuran BIKF itu menyaksikan penyertaan lapan finalis yang menampilkan keunikan busana, adat resam serta identiti masyarakat Vaie di hadapan pengunjung dan juri.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Booth Jualan BIKF merangkap Presiden Persatuan Anaq Vaie Bintulu (PAVB), Pandi Suhaili berkata, penganjuran pertandingan tersebut merupakan satu usaha memperkenalkan budaya Vaie kepada masyarakat pelbagai kaum serta pelancong dari dalam dan luar negara yang hadir ke festival berkenaan.

Menurut beliau, pertandingan itu bukan sekadar menilai kecantikan dan penampilan peserta, malah memberi penekanan kepada pengetahuan, penghayatan serta kebolehan peserta mempersembahkan nilai budaya masyarakat Vaie.

Tania Isabella McCabe diapit Ul’fa Haneyya Ismawi (kiri) dan Hamidah Sepawi (kanan).

“Penganjuran Tengelong Vaie di pentas BIKF memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat keunikan budaya Vaie yang merupakan sebahagian daripada khazanah warisan Sarawak.

“Ia juga menjadi platform untuk generasi muda menonjolkan identiti budaya mereka serta memupuk rasa bangga terhadap warisan yang diwarisi sejak turun-temurun,” katanya.

Beliau berkata, sambutan menggalakkan yang diterima pada penganjuran pertama itu membuktikan bahawa masyarakat masih mempunyai minat yang tinggi terhadap usaha pemeliharaan dan pengembangan budaya tradisional.

Menurut beliau lagi, pihak penganjur berharap pertandingan tersebut dapat dijadikan acara tahunan pada masa hadapan bagi memastikan budaya Vaie terus dipelihara dan diketengahkan kepada generasi akan datang.

Pertandingan Tengelong Vaie 2026 merupakan antara pengisian program kebudayaan yang diadakan sempena BIKF 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 26 Julai di Lapangan Terbang Lama Bintulu.

Selain pertandingan tersebut, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan, pameran komuniti, persembahan seni serta pertunjukan layang-layang yang melibatkan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.

Penganjuran acara itu dilihat selari dengan usaha memperkasakan pelancongan budaya di Sarawak di samping mempromosikan kepelbagaian warisan etnik yang menjadi identiti unik negeri ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU