ARTIKEL

Kathleen ketika ditemui selepas menerima keputusan SPM 2025 di Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, di sini, hari ini. Foto: GHAZALI BUJANG

Tanpa Kelas Tambahan, Kathleen Lawai Raih 8A+ Dalam SPM 2025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Platform media sosial seperti TikTok dan YouTube sering dilabel sebagai punca pembaziran masa serta melalaikan, namun seorang pelajar Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah berjaya membuktikan medium tersebut mampu menjadi “guru kedua” apabila dimanfaatkan secara berkesan.

Meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan 8A+ dan 1A, Kathleen Aran Lawai dari Kuching turut berjaya menepis stigma negatif berkenaan.

Menurutnya, dia tidak mengikuti kelas tambahan berbayar di luar, sebaliknya menggunakan sepenuhnya platform dalam talian sebagai sumber rujukan tambahan dalam pelajaran.

“Saya tidak mengambil kelas tambahan di luar, salah satu sebabnya adalah kekangan masa. Jadi, saya banyak belajar sendiri sebagai persediaan menghadapi SPM.

Kathleen (berdiri dua kanan) merakam gambar kenangan bersama-sama Pengetua Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, Adzuddin Mantrang (berdiri lima kiri) dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Datuk Rozalix Edi (berdiri empat kanan) serta rakan-rakan yang turut meraih keputusan cemerlang. Foto: GHAZALI BUJANG

“Selain buku, guru dan rakan-rakan, saya juga menggunakan aplikasi seperti YouTube serta siaran langsung di TikTok untuk mendapatkan maklumat tambahan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Kathleen, tidak dinafikan terdapat subjek yang mencabar khususnya Matematik Tambahan yang memerlukan pemahaman mendalam dan latihan berterusan.

“Namun, bagi saya subjek yang paling mencabar ialah Biologi dan ia juga merupakan subjek kegemaran saya.

“Untuk mengatasi perkara ini, saya mengambil pendekatan proaktif dengan mendapatkan bantuan daripada rakan sekelas serta guru. Biasanya saya akan berbincang dengan rakan dan bertanya terus kepada guru jika ada perkara kurang jelas supaya saya benar-benar faham,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kathleen mengakui perasaannya bercampur baur sementara menunggu keputusan diumumkan sehingga sukar melelapkan mata pada malam sebelumnya.

“Sejujurnya, saya memang sangat gementar. Tetapi selepas nama saya diumumkan dan keputusan dipaparkan di skrin besar, saya terkejut dan sukar untuk percaya.

“Keputusan ini di luar jangkaan kerana kertas peperiksaan agak mencabar. Namun, saya bersyukur dan terharu kerana segala usaha selama ini tidak sia-sia dan membuahkan hasil,” katanya.

Menceritakan rutin harian, Kathleen memperuntukkan masa selama tiga jam setiap hari bermula jam 8 malam untuk mengulang kaji dua subjek.

“Tidak dinafikan ada waktu jadual agak padat dan saya berasa penat. Pada hari-hari tersebut, saya biasanya menelaah subjek yang kurang mencabar.

“Tetapi setiap hari, kadangkala sehingga jam 12 tengah malam saya akan membuat ulang kaji sama ada menjawab kuiz, soalan-soalan SPM tahun terdahulu dan sebagainya.

“Cara saya menguruskan tekanan adalah dengan berehat apabila berasa penat. Namun, rehat bukan bermakna berhenti kerana usaha berterusan tetap penting bagi saya,” jelasnya.

Menyentuh perancangan masa depan, Kathleen berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia didorong minat mendalam terhadap subjek Kimia.

“Kalau boleh, saya ingin melanjutkan pelajaran di luar Kuching tetapi masih dalam Sarawak. Jika tidak menyambung dalam bidang kejuruteraan kimia, mungkin dalam bidang farmasi.

“Dalam pelajaran, ibu bapa saya tidak pernah menyekat cita-cita, malah membiarkan saya membuat pilihan sendiri. Mereka juga sentiasa menyokong saya dalam pelbagai subjek,” katanya dengan nada gembira.

Sementara itu, bapanya, Lawai Anvi, 53, meluahkan rasa syukur atas kejayaan tersebut serta berharap anaknya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Beliau menyifatkan Kathleen sebagai anak yang tidak banyak karenah serta memiliki disiplin diri yang tinggi.

“Saya tidak pernah memberi tekanan kepada anak-anak. Asalkan mereka memilih jurusan yang diminati, itu sudah memadai.

Kathleen merakam gambar kenangan bersama-sama kedua-dua ibu bapanya.
Foto: GHAZALI BUJANG

“Usaha Kathleen memang luar biasa. Sepanjang tahun lepas, dia bekerja keras. Jadi, saya memang menjangkakan dia akan lulus dengan cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, Lawai turut menegaskan peranan ibu bapa sebagai suri teladan amat penting dalam mencorakkan kejayaan anak-anak.

“Apa yang penting, sebagai ibu bapa kita mesti menunjukkan contoh yang baik. Saya percaya itu juga antara faktor penyumbang kepada kejayaan mereka,” ujarnya yang juga seorang pesara.

Ibu Kathleen, Veronica Chakoi, 51, pula menyifatkan anak bongsunya itu sebagai seorang yang berdikari dan mudah diurus sejak kecil.

Menurutnya, Kathleen mampu menguruskan waktu pembelajaran dengan baik tanpa memerlukan dorongan berlebihan daripada ibu bapa.

“Sebagai ibu, saya tidak perlu menyuruh atau memaksa. Dia sendiri tahu mengurus masa termasuk ketika belajar. Memang dia ada jadual sendiri. Dia tidak ke kelas tambahan luar, sebaliknya belajar sendiri termasuk menggunakan YouTube,” jelasnya.

Veronica menambah, anaknya telah menunjukkan sikap rajin sejak peringkat awal pendidikan khususnya ketika mengikuti aliran sekolah Cina.

“Dia memang anak yang baik dan senang diurus. Sejak tadika lagi, dia sudah menunjukkan disiplin tinggi. Guru-guru juga selalu memuji kerana dia rajin dan konsisten dalam pelajaran.

“Kami meletakkan harapan tinggi terhadap Kathleen sebagai anak bongsu, termasuk hasrat melihatnya melanjutkan pelajaran selepas ini,” katanya yang turut bangga dengan pencapaian tersebut.

BERITA LAIN

MK Melugu ungguli anugerah TVPSS

SIMANGGANG: Sekolah-sekolah di Daerah Sri Aman mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pelbagai pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Digital Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan

BERITA TERBARU