Tarikan pelancongan terbaharu

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju memanjangkan pembinaan tebingan sungai dari Kampung Tanjung hingga Kampung Tupong yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan, apabila siap kelak, keseluruhan tebingan sungai dari Kampung Sungai Bedil ke Kampung Tupong akan diindahkan seperti Tebingan Kuching.

“Ia memakan belanja RM30 juta dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2021 apabila kerja-kerja pembinaan sudah mencapai tahap 30 peratus setakat ini.

“Kita ada dua projek besar yang akan dilaksanakan di Kampung Sungai Bedil, Kampung Lintang dan Kampung Tanjung. Ia setaraf pembangunan di seberang sungai,” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja pembinaan tebingan sungai berkenaan di Kampung Lintang di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Adun Satok berkata, begitu juga dengan kerja menaik taraf tebingan sungai di Kampung No.3 hingga ke Kampung Patinggan yang akan disambung semula.

“Ini bermakna kedua-dua tebingan Sungai Sarawak akan dinaik taraf sebagai produk pelancongan. Ini kerana kita merasakan pelancong dapat menikmati keindahan yang ada pada sungai kita,” jelasnya.

Tegasnya, jika dilihat di tebingan sungai tidak semuanya menggunakan bahan konkrit kerana dibuat melalui landskap yang lembut.

“Jadi, kita akan tanam flora dan fauna serta mungkin kita sambungkan lagi jika projek pertama siap. Ini adalah satu pendekatan kita untuk merancakkan infrastruktur di bandar raya Kuching dari sudut pelancongan,” ujarnya.

Malah, ia akan memberikan banyak peluang perniagaan kepada masyarakat setempat, tambah Abang Johari lagi.

“Di samping itu, kita sedang membangunkan Darul Hana serentak dengan Kampung Bintawa hingga ke Kampung Boyan.

“Sekarang kita sedang membina air terjun berirama yang akan siap tidak lama lagi di Fort Magherita seterusnya ke kawasan Kompleks Dun apabila bersambung dengan Jambatan Darul Hana,” katanya.

Justeru katanya lagi, keseluruhan bandar raya Kuching diindahkan untuk menarik pejalan kaki dan pelancong.

Suara Sarawak