Taska, tadika di kawasan PKPB dibenarkan beroperasi

KUCHING: Taska dan tadika yang terletak dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata hanya taska dan tadika di Sibu tidak dibenarkan beroperasi kerana dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelas beliau, taska dan tadika dibenarkan beroperasi sebagai sistem sokongan kepada ibu bapa yang bekerja terutama bagi petugas barisan hadapan mahupun guru.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, sebelum pembukaan taska dan tadika, mereka (pemilik) harus menjalankan kerja nyah jangkitan dahulu pada premis dan peralatan mereka.
“Mereka juga perlu memberikan taklimat kepada guru-guru mereka dan ibu bapa mengenai SOP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan program menyantuni petugas barisan hadapan oleh McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald’s di Majma Mall, di sini hari ini.
Hadir sama Residen Bahagian Kuching, Sherrina Hussaini, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dr Rashidah Bolhassan, Pegawai Daerah Kuching Awang Yusup Awang Mostapha dan Pengurus Restoren McDonald’s cawangan Metrocity, Agnes Panti Augustine.
Bagaimanapun, Fatimah berkata tarikh pembukaan taska dan tadika ini belum ditetapkan lagi.
Namun, beliau menjelaskan sekiranya taska dan tadika tidak dibuka, ia akan menyukarkan ibu bapa bagi menempatkan anak-anak untuk dijaga sementara mereka bekerja.
“Kita tidak tahu sama ada tempat yang dihantar oleh ibu bapa ini mengikuti SOP atau tidak.
“Bagi taska dan tadika, kita akan membuat pemantauan SOP ini pada hari pembukaan nanti,” katanya.