ARTIKEL

Tasnim (kanan) dan Norita (tengah) meraikan kemenangan kategori beregu wanita bersama-sama wakil Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching, Jefri Nawi.

Tasnim-Norita juara Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pertemuan di Santubong ketika persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016 akhirnya membawa Nur Thahira Tasnim dan Norita Abdul Latiff kembali ke lokasi sama hampir sedekad kemudian, kali ini sebagai juara beregu wanita Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong siri ke-18.

Pasangan dari Pahang itu menjuarai kategori berkenaan pada kejohanan yang berlangsung selama dua hari – 3 hingga 4 Oktober, di Arena Petanque Masjid Nurir Rahmani dan SMK Santubong.

Beregu AM 01 juara kategori terbuka.

Bagi Tasnim, yang sudah berkecimpung dalam sukan tersebut sekitar 16 tahun, penyertaan kali ini merupakan penampilan pertamanya dalam kejohanan terbuka Sri Santubong meskipun pernah beberapa kali berkunjung ke Sarawak.

“Bagi saya, suasananya sangat meriah. Sambutannya juga sangat baik dan ramai orang datang,” katanya.

Beregu LCDA 03 dan KEPS berkongsi tempat ketiga kategori terbuka.

Norita pula mula bermain petanque sejak 2002 dan bukan nama asing di Santubong kerana pernah beraksi di venue berkenaan sebelum ini.

Norita yang dikenali sebagai ‘Ibu Angah’ dalam kalangan pemain berkata, beliau mula menjaga dan membimbing Tasnim sejak 2018 ketika bertindak sebagai pengurus pasukan SUKMA Pahang.

Para pemenang merakam kenangan selepas tamat Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong Siri Ke-18, di sini, pada Ahad.

Pertemuan itu kemudiannya berkembang menjadi hubungan yang lebih rapat dalam sukan petanque sehingga kedua-duanya kerap bergandingan dalam kejohanan.

Kepulangan ke Santubong kali ini melengkapkan satu lagi bab istimewa apabila pasangan itu menjuarai kategori beregu wanita di lokasi yang menjadi titik awal perkenalan mereka hampir 10 tahun lalu.

Fokus… Salah seorang pemain wanita mempamerkan aksi ketika melakukan balingan.

Kejohanan berkenaan dianjurkan bersama Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching (PSPBK) dan Kelab Sosial Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (LANDAS).

Penganjuran kali ke-18 itu turut diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun LCDA bertemakan ‘45 Tahun LCDA Bersama Komuniti’, sekali gus mencerminkan komitmen agensi berkenaan dalam menyokong aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan sukan.

Sebanyak 179 pasukan mengambil bahagian pada edisi kali ini, membabitkan 118 pasukan dalam kategori beregu terbuka dan 61 pasukan bagi beregu wanita.

Penyertaan turut membabitkan pemain dari pelbagai negeri di Malaysia selain peserta antarabangsa dari Indonesia, Thailand dan Brunei.

Dalam kategori beregu terbuka, AM 01 muncul juara dan membawa pulang RM6,000, piala pusingan serta piala iringan selepas menewaskan LCDA 02 yang menerima RM3,000 dan piala iringan.

LCDA 03 dan KEPS berkongsi tempat ketiga dengan masing-masing menerima RM1,500 serta piala iringan.

Bagi kategori beregu wanita, LCDA 04 meraih kejuaraan serta hadiah RM2,500 dan piala iringan, manakala Bintangor 01 muncul naib juara dengan hadiah RM1,500 dan piala iringan.

LCDA 01 dan Bintangor 02 berkongsi tempat ketiga dan masing-masing menerima RM800 serta piala iringan. Manakala kategori beregu veteran wanita terbaik pula dimenangi TMS 04.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira