KUCHING: Perayaan Tahun Baru Cina (TBC) mampu menjadi platform menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan berlainan agama di Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee meluahkan harapan agar semangat toleransi, persefahaman dan kerjasama antara kaum terus dipupuk sepanjang masa.
“Melalui persefahaman masyarakat pelbagai kaum dapat memastikan keharmonian yang kita nikmati hari ini dibentuk, di samping dikekalkan untuk generasi akan datang.
“Semoga sambutan perayaan ini membawa tuah dan kejayaan dalam semua bidang yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat Sarawak secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan program walkabout Tahun Baru Cina (TBC) 2026 di Daerah Simunjan di Dewan Tua Pek Kong di sini, pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau telah menyempurnakan program walkabout yang merupakan inisiatif tahunan Pusat Khidmat Batang Sadong untuk mendekati rakyat.
Sekali gus, menunjukkan rasa hormat dan sokongan terhadap masyarakat cina dalam meraikan perayaan berkenaan.
Dalam program yang sama, Rodiyah turut berkesempatan menyampaikan buah limau mandarin dan sumbangan kepada 206 ketua isi rumah berbangsa Cina, 47 bakul makanan kepada golongan memerlukan termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.


