Pengarah teater Sarawak, Taksu Zacharia bakal kembali dengan karya terbarunya yang bertajuk Bukan Bunuh Diri, menampilkan kelainan dan lokasi unik di terowong pejalan kaki menuju muzium.
Beliau percaya pementasan teater di lokasi tersebut merupakan kali pertama diadakan di Malaysia.
“Saya memilih lokasi ini kerana mahu membawa penonton keluar daripada kebiasaan dewan atau panggung.
Lokasi terowong ini bukan sahaja memberikan suasana dramatik yang berbeza, malah turut mencabar persepsi penonton tentang ruang teater,” ujarnya teruja.
Taksu Zacharia atau nama sebenarnya Zakaria Manan bukan asing lagi dalam dunia seni pentas, khususnya seni teater bangsawan di Sarawak.
Berpengalaman lebih 35 tahun, beliau mengarah 75 pementasan teater yang bukan sahaja mendapat sambutan di negeri kelahirannya, tetapi juga menembusi Semenanjung Malaysia dan Indonesia.
Taksu berkata, skrip teater ini telah lama diusahakan sejak 1998 dan pertama kali dipentaskan di Panggung Eksperimen Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Pementasan ini merupakan sebuah monodrama.
“Teater terbaru Bukan Bunuh Diri ini adalah salah satu teater yang saya kerjakan tahun 1998 di Panggung Eksperimen UNIMAS.
Jujurnya, ia mengambil masa tiga tahun untuk saya memberanikan diri mementaskan monodrama ini selama satu jam 45 minit,” jelasnya ketika ditemu bual Suara Sarawak baru-baru ini.
Selain itu, jelasnya, produksi kali ini bakal memperkenalkan watak AI (kecerdasan buatan) dalam pementasan.
Projek tersebut masih dalam proses, namun beliau yakin ia bakal mencipta sejarah sebagai penampilan pelakon AI pertama di Malaysia.
“Selain lokasi, istimewanya teater ini adalah kerana bakal mempunyai watak AI yang masih dalam proses pembangunan.
Insya-Allah, saya yakin watak ini akan menjadi pelakon AI pertama di Malaysia,” tambahnya.
Bagi Taksu Zacharia, salah satu cabaran terbesar dalam pementasan kali ini ialah memastikan ia relevan dengan generasi masa kini.
“Teater bukan sekadar hiburan, tetapi turut mencerminkan jiwa bangsa. Jadi, sebagai pengarah, saya perlu memastikan mesejnya sampai dan dekat dengan hati penonton, terutamanya generasi muda,” katanya.
Dengan pengalaman mengarahkan puluhan teater, termasuk teater bangsawan berskala besar yang menelan belanja ratusan ribu ringgit, Taksu Zacharia membuktikan bahawa beliau bukan sahaja penggiat seni, tetapi juga penggerak yang berani membawa karya ke tahap baharu.
Teater Bukan Bunuh Diri dijangka menjadi pementasan yang bukan sahaja mencabar batas kreativiti, malah membuka mata ramai tentang potensi teater dalam memanfaatkan ruang, teknologi dan mesej kemanusiaan.
Ini peluang keemasan buat peminat seni pentas tanah air untuk menyaksikan sebuah karya unik, berani dan penuh jiwa, hasil tangan seorang pakar teater yang tidak pernah berhenti berkarya.



