SEREMBAN, 11 Julai: Keupayaan anggota Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) mencipta teknologi sendiri bagi kegunaan operasi lapangan terbukti apabila pasukan itu merangkul dua anugerah utama pada Majlis Persada Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2025, semalam.
Menurut kenyataan, Pasukan Artificial Intelligence dari briged berkenaan diumum johan Kategori KIK Horizon Baharu Penciptaan menerusi inovasi Dr Tracker, iaitu alat penjejak medan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tanpa liputan Internet.
“Inovasi itu dibangunkan sendiri oleh pasukan operasi berdasarkan keperluan sebenar di medan, dan mampu meningkatkan kecekapan misi SAR di kawasan pedalaman,” kata kenyataan itu, hari ini.
Pasukan sama turut dinobatkan naib johan Anugerah Inovasi menerusi ciptaan kedua, Dr Ghaz Sensor, iaitu alat pengesan pergerakan yang boleh digunakan untuk mengesan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti penyeludupan di sempadan negara.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, manakala Komander Briged Sarawak, SAC Dr Che Ghazali Che Awang, turut hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan inovasi tersebut.
Kejayaan itu turut mencatatkan sejarah baharu buat Briged Sarawak apabila berjaya menaiki podium dalam dua kategori utama pada satu edisi pertandingan iaitu sesuatu yang belum pernah dicapai sebelum ini.
Kejayaan ini sebagai bukti bahawa anggota lapangan bukan sahaja berperanan dalam tugas penguatkuasaan, malah mampu menjadi penyumbang utama kepada pembangunan teknologi taktikal dalam pasukan keselamatan.
“Briged Sarawak kini dilihat bukan sahaja sebagai barisan hadapan operasi darat, tetapi juga sebagai pemacu gelombang baharu inovasi PDRM yang berasaskan keperluan sebenar di lapangan,” kata kenyataan itu.

