KUCHING: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) perlu menyiasat serta meneliti semula harga tambang tidak wajar yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan.
Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen iaitu Micheal Kong berkata, hal ini susulan sebuah syarikat penerbangan terkemuka menetapkan harga tambang penerbangan sehala yang tidak munasabah untuk minggu ini.
“Tiket penerbangan sehala dari Kuching ke Kuala Lumpur untuk minggu ini sahaja mencecah harga lebih daripada RM2,000 dan perkara ini amat mengejutkan serta mengecewakan.
“Saya berasa bimbang dan takut apabila melihat harga tambang tersebut yang terlalu tinggi untuk penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur dalam beberapa hari akan datang.
“Harga tambang sedemikian ibarat rompakan di siang hari, dan adalah penting untuk mengambil tindakan segera bagi menangani isu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sudah tiba masanya MAVCOM menjalankan tanggungjawabnya bagi mempertahankan hak pengguna dengan meneliti amalan penetapan harga tambang syarikat penerbangan, serta mengambil tindakan tegas untuk menangani isu tersebut.
“Adalah tidak dapat diterima apabila syarikat penerbangan terlibat dalam amalan pencatutan yang mengeksploitasi pengguna secara tidak adil terutama pada masa Kerajaan sedang giat mengambil langkah untuk menurunkan kos sara hidup.
“MAVCOM harus segera menyiasat harga tambang penerbangan yang terlalu tinggi ini dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan harga tambang yang adil dan berpatutan untuk pengangkutan udara.
“Tambahan pula, adalah penting bagi MAVCOM untuk campur tangan bagi melindungi hak pengguna dan memastikan pengangkutan udara kekal mudah diakses serta berpatutan untuk semua rakyat Malaysia.
“Kami tidak boleh membenarkan syarikat penerbangan terus mengeksploitasi pengguna dengan harga tambang penerbangan yang tidak wajar terutamanya pada masa yang mencabar ini,” tambahnya.
Menurutnya, harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi bukan sahaja akan menyebabkan tekanan kewangan kepada pelancong tetapi ia juga dapat menghalang aktiviti ekonomi dan mobiliti.


