KUCHING: Seri Paduka Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyifatkan Sarawak sebagai rumah keduanya, penuh dengan kenangan manis sejak baginda masih muda.
Menurutnya, Bumi Kenyalang mempunyai tempat istimewa di hatinya, bahkan mengimbau kenangan semasa menerima hantaran dari Sarawak ketika perkahwinannya.
“Sarawak sudah menjadi sebahagian daripada kisah hidup saya. Semasa khatam al-Quran, saya memakai tudung keringkam dan sebagai hantaran, saya menerima selendang keringkam dari negeri ini.
“Hadiah ini sangat berharga untuk saya, bagaimanapun saya menghadiahkannya semula kepada Muzium Budaya Borneo supaya saudara-saudara saya (rakyat Sarawak) dapat melihatnya.
“Saya tidak pernah rasa seperti sedang melancong tiap kali datang ke Sarawak kerana sudah menganggap seperti rumah kedua dan anda semua merupakan saudara saya,” katanya ketika bertitah menyampaikan ucaptama pada Festival Tekstil Antarabangsa Borneo 2025 (BITF25) di Hotel Pullman, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, anakanda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah turut mengiringi Tunku Azizah dalam lawatan kali ini membawa hasil seni ciptaannya iaitu ‘Cityscapes of The Future’ ke Sarawak.
“Anakanda saya ikut serta kali ini bersama-sama karya seninya yang akan dipinjamkan kepada Sarawak selama tiga bulan. Ini seolah-olah dia berpindah ke Sarawak selama tiga bulan.
“Jadi apabila saya berkata Sarawak ialah rumah kedua saya, saya benar-benar maksudkannya,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda menegaskan agar generasi muda mengekalkan warisan negeri dengan terus menggunakan kraf yang dihasilkan.
“Pakai identiti anda dengan bangga — rantai manik, keringkam, songket Sarawak. Jangan simpan warisan itu. Pakai dan sayangi, tunjukkan!
“Tanpa kraf siapalah kita? Kraf melambangkan identiti dan tamadun. Jika gagal memeliharanya, kita kehilangan diri sendiri. Jika kraf diajar, masa depan industri ini akan terjamin,” ujarnya.
Baginda turut menelusuri sejarah bahawa institusi diraja memainkan peranan penting dalam memelihara kraf halus seperti songket, keringkam, tenunan dan lain-lain.
“Permaisuri mengekalkan tradisi ini dan saya berasa rendah diri meneruskan usaha ini. Warisan bukanlah projek saya, ia adalah panggilan saya.
“Selama lebih dua puluh tahun, saya bekerja dengan para penggiat seni, orang tua, muzium, penjara, yayasan dan rakan antarabangsa. Perjalanan ini merupakan kegembiraan terbesar dalam hidup saya.
“Malah, keputusan anakanda saya untuk mempelajari tekstil bukanlah dipaksa tetapi digalakkan — diwarisi daripada rasa cinta, rasa memiliki dan identiti. Beginilah cara warisan hidup,” tambahnya.
Sehubungan itu, baginda menggesa kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO), korporat, penggiat seni serta komuniti bagi memastikan warisan terus dilestarikan.
“Warisan tidak boleh hidup sendirian, usaha ini memerlukan kerjasama. Apabila semua pihak ini bergabung, kita dapat membina ekosistem yang menyokong mata pencarian, mengukuhkan identiti dan memperkasa masyarakat.”


