mencintaimu itu
adalah menjadi sekecil api
yang menerangi malam
dalam bahasa sunyi yang juga akan terpadam
sebelum jelma siang
mencintaimu itu
adalah menjadi bintang-bintang ramalan
berkerlipan di tubuh semesta yang mengembang
dan turut ikut terpecah bila kehabisan waktu
dalam hitungan yang mengecut
mencintaimu itu
adalah menjadi bulan-bulan terapung
tak mempertanyakan jawapan
bila engkau akan muncul menghapus tangisan
aku yang kehilangan bentuk wujudku.
Angelo Taj
CROSTATINA
(selepas Bella Cíao)
saudara, duduk sebentar dan nikmati kopi Itali ini
kau bebas untuk melepa roti dengan mentega, atau ciciplah kopimu
dengan Babá, Sicilian Cannolo, Cornetto, atau setidaknya
Crostatina berjem anggur, agar aku gembira
dengan kehadiranmu,
letakkan pistol itu di tepi meja
di sini kopi Itali yang masih panas adalah pembuka bicara
aku tahu, kau telah muak dengan kerajaan
dan kau mencari emas-emas rakyat yang dilarikan mereka
tunggu sebentar, rompakan sebenar belum bermula
opera bertopeng “Bella Cíao” masih dimainkan panggung mimesisnya
mari kita bentuk perikatan, aman tanpa senjata
berangkas-berangkas bank sedia diletupkan untuk kebebasan
maaf, aku tahu harga prinsipmu mahal
tetapi wang rakyat perlu dikembalikan kepada pemiliknya
katamu; I soldi non fanno la felicità
tetapi peperangan juga tidak mungkin tidak menumpahkan kematian
apa pilihanmu? persahabatan ini atau masa yang memicu peluru?
Angelo Taj
KETUA BURUNG-BURUNG
aku yang paling layak di sini menjadi ketua burung-burung
lihat badanku besar, sayapku lebar menutup timur dan barat
paruhku panjang keras, tajiku pedih tajam
kau mahu jadi cebisan daging di genggamanku?
tak perlu menunggu hari pilihan raya
jelas aku lebih berkuasa
“Tidak Tuan,” jawab si gagak
mataku merah, matamu penuh sejarah
kita sama berbulu gelap, menutup kenyal berdegup kebal
kita sama pekat darah, menyimpan gendang si matahari marah
engkau terbang di gurun, aku bertenggek di wayar-wayar
kami tidak beraja, bila engkau diburu pemburu kota
masanya untuk kita menggolek dadu
bermain nasib manusia
dalam ramalan burung-burung nokturna
“Arrkkkkkkkkkk!” tulang-temulang mereka sedap belaka
aku separuh, kau gagak separuh, ini keadilan politik
yang bernama haiwan
isi kepala manusia kita ratah bersama, tengkoraknya
untuk tongkatku di sarang gua.



