Tentera Darat bantu penguatkuasaan PKPD di Sibu Jaya

SIBU: Tentera Darat membantu proses pengagihan bekalan makanan kepada penduduk di Sibu Jaya yang menempuhi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Khamis dan Jumaat lalu.

Bantuan tersebut diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak ekoran daripada pelaksanaan PKPD di kawasan Sibu Jaya.

Kehadiran anggota-anggota daripada Briged Kesembilan Infantri Malaysia sedikit sebanyak dapat membantu melancarkan proses pengagihan bekalan makanan kepada lebih kurang 6,000 penduduk.

Antara bantuan yang diagihkan ialah beras, gula, tepung, sardin, teh, kopi, minyak masak, biskut kering dan mi segera.

Di samping melaksanakan tugas utama menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan anasir luar, Tentera Darat juga sentiasa bersedia berganding bahu dengan pihak berkuasa dan juga agensi awam membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik wabak COVID-19.