KUCHING: Khidmat mereka diperlukan di mana-mana dan dalam keadaan apa sekali pun jua , mereka sentiasa dekat di hati rakyat. Sumbangan barisan hadapan negara wajar disanjung tinggi oleh semua pihak dan semalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ihsan bagi membantu membawa seorang pesakit dari Kuching ke Miri.
TUDM menerusi laman Facebooknya semalam menjelaskan, seorang pesakit menghidap masalah paru-paru dan tulang dibawa menggunakan pesawat pengangkut CN 235 dari Pangkalan Udara Kuching.
“Pesakit Solomon Tinggang berusia 42 tahun diterbang dari Pangkalan Udara Kuching ke Miri kira-kira jam 9.20 pagi semalam.
“Solomon kini dalam keadaan separuh lumpuh amat memerlukan bantuan peralatan di Hospital Miri bagi merawat penyakit dihadapinya itu,” jelas TUDM
Penerbangan ihsan ini dikendalikan oleh juruterbang, Kapten Adi Akmal dan dibantu oleh pembantu juruterbang Kapten Nazirul Shafiq bersama empat orang anak kapal yang lain.
“Semoga tanggungjawab sosial dilaksanakan TUDM ini membolehkan pesakit mendapat rawatan dengan segera dan membantu pesakit mendapat kesembuhan dan kesihatan berterusan,” tambah TUDM.
Menerusi itu juga semua warga kerja TUDM termasuk juruterbang dan anak kapal pesawat CN 235 serta kakitangan perubatan yang melaksanakan tanggungjawab tersebut terutamanya kepada negara akan terus dihargai dan dihormati.







