SIBU: Sudah tiba masanya bagi semua pihak untuk menerima kenyataan bahawa Sarawak memiliki hak mutlak dan penuh ke atas kekayaan gas asli yang terdapat di negeri ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau Hui Yew, berkata demikian ekoran perbahasan yang semakin memuncak tentang hak ke atas sumber alam Sarawak.
“Semua pihak mengaku bahawa Sarawak mempunyai hak mutlak ke atas sumber gas asli yang terdapat di negeri ini, dan menuntut agar Kerajaan Persekutuan serta PETRONAS mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh Sarawak,” katanya di sini semalam.
Hui Yew mengingatkan bahawa selama lebih 50 tahun, Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS telah mendapat manfaat besar daripada kekayaan hasil bumi Sarawak.
Namun demikian, soalnya kini adalah sejauh mana kekayaan tersebut dimanfaatkan untuk pembangunan negeri ini.
“PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan telah menikmati hasil kekayaan Sarawak selama lima dekad, tetapi persoalannya, berapa banyak yang dikembalikan kepada Sarawak untuk pembangunan?” ujarnya.
Hui Yew juga mengingatkan bahawa salah satu alasan utama Sarawak menyertai Malaysia pada 1963 adalah janji tentang pembangunan pesat, namun kini Kerajaan Persekutuan menanggung hutang negara sebanyak RM1.5 trilion.
“Ucapan terima kasih patut diberikan, bukan pandangan negatif terhadap keputusan Sarawak melantik PETROS sebagai pengendali tunggal gas,” katanya.
Beliau mengulas tentang kenyataan bekas menteri undang-undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, yang mengkritik tindakan Sarawak itu sebagai ugutan dan ancaman.
Hui Yew sebaliknya memuji Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi, yang dengan tegas membentangkan fakta semasa ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini.
Julaihi dalam ucapannya mendedahkan bahawa Sarawak menyumbang lebih 60 peratus daripada pengeluaran gas asli negara, namun hanya enam peratus daripada jumlah itu digunakan bagi industri tempatan dan penjanaan kuasa.
Selebihnya, sekitar 94 peratus gas asli Sarawak, digunakan oleh PETRONAS untuk menghasilkan gas asli cecair (LNG) yang dieksport ke luar negara.
Menurut Hui Yew, sejak Akta Pembangunan Petroleum 1974 dikuatkuasakan, nilai kumulatif hasil petroleum yang diperoleh daripada Sarawak oleh PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan hingga 2014 dianggarkan melebihi RM1 trilion.
“Maka, tindakan PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan yang tidak adil kepada Sarawak harus dihentikan.
“Kami menuntut agar hak negeri ini dihormati dan dipenuhi dengan sewajarnya,” tegasnya.
Hui Yew menambah, dengan keupayaan dan kekayaan sumber alam yang dimiliki, Sarawak berhak menentukan bagaimana sumber gas asli tersebut diuruskan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

