KUALA NERUS: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali berkata, sikap terlalu menghormati Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi punca pasukan itu tewas 0–5 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam tadi.
Badrul Afzan turut mengakui kecewa dengan prestasi hambar anak buahnya yang banyak melakukan kesilapan mudah sehingga menyebabkan skuad Penyu kalah dengan jaringan besar di laman sendiri.
“Sebelum perlawanan, saya sudah berpesan supaya tidak melakukan kesilapan mudah apabila berdepan JDT kerana ia boleh mengundang padah.
“(Bagaimanapun) ia berlaku terlalu cepat dan pemain seperti hilang fokus serta tidak tersusun pada separuh masa pertama dan kedua,” katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Xisco Munoz membenam TFC 5–0 menerusi jaringan Bergson Da Silva yang membuka tirai jaringan seawal minit keempat, Romel Morales pada minit ke-30, serta hatrik penyerang import Jairo Da Silva pada minit ke-63, 70 dan 76.
Susulan kekalahan itu, Badrul Afzan berkata, beliau sedia menerima sebarang tindakan atau keputusan daripada pihak pengurusan TFC.
Pengendali berusia 49 tahun itu turut mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan tersebut dan menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk menentukan kedudukannya dalam pasukan berkenaan.—BERNAMA


